MELEWATI 100 HARI PAKATAN HARAPAN - Utusan Malaysia

MELEWATI 100 HARI PAKATAN HARAPAN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pemerintahan Pakatan Ha­rapan (PH) dan manifestonya sudah melewati 100 hari. Sebahagian besarnya tidak tertunai. Se­perti yang diduga, isu ekonomi negara masih dimainkan sebagai helah kerajaan untuk menangkis kritikan rakyat. Justeru, tidak seperti kebanyakan kerajaan di negara lain yang biasa akan meraikan kejayaan 100 hari meme­rintah. Namun di Malaysia tiada sebarang acara diadakan oleh Kerajaan PH bagi meraikan 100 hari mereka. Semua ini kerana tiada apa kejayaan besar yang dicapai untuk dibanggakan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tempoh lima tahun tidak cukup untuk ‘memperbaiki kerosakan’ yang di­tinggalkan kerajaan Barisan Nasional (BN). Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pula berkata PH tidak perlu meminta maaf di atas kegagalannya menunaikan janji yang terkan­dung di dalam manifesto.

Semua kenyataan ini adalah alasan dan jelas menggambarkan kegagalan kerajaan PH melunaskan janji mereka. Persoalannya, apakah tempoh 22 tahun Dr. Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri keempat mencipta kejayaan tanpa cacat-cela? Bukankah tempoh dan pengalaman beliau yang begitu lama mentadbir Malaysia sepatutnya sudah cukup membantu beliau melunaskan janji 100 hari PH. Jadi kegagalan ini juga membuktikan bahawa mentadbir negara tidak boleh dilaksanakan berseorangan dan ia memerlukan pasukan yang kuat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Maka, ketidakupayaan PH melunaskan janjinya juga kerana Perdana Menteri dikelilingi kebanyakannya oleh mereka yang tidak berkebolehan serta tidak berpengalaman. Kenyataan Timbalan Perdana Menteri pula adalah tanda mereka tidak berterima kasih kepada rakyat yang memi­lih mereka.

Hakikatnya ramai yang me­ngundi PH menanti dan menagih segala janji. Namun tol tidak dihapuskan, hutang peneroka Felda gagal dihapuskan, janji PTPTN gagal ditunaikan, harga komoditi seperti minyak sawit merudum dan menghimpit peladang ter­babit dan tiadanya penurunan harga minyak ketika harga dunia menurun, adalah hal yang me­runsingkan rakyat.

Golongan nelayan pula terus dihimpit keresahan dengan hilang­nya elaun manakala rakyat miskin makin menghadapi kesukaran untuk hidup dengan janji kosong PH. Lebih malang tiada perancangan atau hala tuju yang jelas bagaimana kerajaan PH mahu membantu serta menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi.

Kebimbangan rakyat juga ia­lah apabila PH tidak begitu serius menangani kesan kenaikan har­ga barang. Kesan langsungnya ter­kena kepada mereka yang berpendapatan rendah dan pekebun kecil. Kuasa beli mereka semakin kurang akibat pendapatan sema­kin terjejas. Kesan ketidakcekapan mentadbir ekonomi kini me­nghimpit kehidupan rakyat se­dangkan menyelesaikan isu kos sara hidup juga adalah janji 100 hari mereka.

Perkara yang jelas ialah sikap menyalahkan kerajaan terdahulu bagi menutup kelemahan kerajaan PH. Sikap begini tidak boleh berterusan kerana rakyat mahu lihat bagaimana polisi dan dasar baru yang melegakan rakyat dilaksanakan PH hari ini. 100 hari telah berlalu, apakah hari berikutnya pentadbiran PH akan te­rus begini?

Pendekatan baharu yang dilihat oleh rakyat ialah apabila ba­nyak u-turn kerajaan lakukan, con­tohnya ke atas projek HSR dan ECRL. Semua ini juga dilihat sebagai kelemahan dalam mentadbir pembangunan negara.

Kesannya boleh dilihat um­pa­manya, apabila wakil Perdana Menteri yang dihantar ke China dilihat gagal meyakinkan mereka sehingga Perdana Menteri terpaksa merangka lawatan sekali lagi ke China. Semua ini merugikan rakyat kerana jika kuasa besar seumpama China dilihat tidak lagi berminat kepada negara ini. Kesan jelas apabila berlaku kejatuhan harga komoditi setelah China difahamkan menghentikan pembeliannya dari Malaysia.

Melihat kepada situasi begini, sebenarnya ramai pihak bimbang dan merasa amat pelik kerana sejak memerintah, kerajaan belum pun mengumumkan pakej rangsangan ekonomi dan pelaburan, yang menyaksikan pasaran saham terumbang-ambing dan nilai ringgit terus merudum.

Justeru di pihak pembangkang, kita mahu melihat penjelasan matematik terhadap semua angka yang diberikan, dan bukan sekadar angka tangkap muat kepada semua persoalan mengenai projek yang dibatalkan atau ditangguhkan. Sebagaimana diamalkan oleh Menteri Kewangan kerajaan PH.

Persoalannya, di mana ahli eko­nomi PH yang menjalankan pe­nyelidikan semula kos tol, HSR, ECRL serta projek lain? Rak­yat mahukan mathematical answer terhadap semua ini, ter­utama kononnya hutang RM1.4 trilion kerajaan, LRT3 dan yang lain. Perkara ini penting untuk meningkatkan keyakinan peniaga, pelabur luar dan bukan semata rakyat Malaysia.

Semua pihak perlu diyakinkan bahawa penghapusan GST yang digantikan dengan SST akan membawa kebaikan. Jadi bagaimana perkiraan Lim Guan Eng bahawa negara tidak akan kekurangan sumber kewangan akibat perubahan sistem percukaian ini. Perkara penting seperti ini amat mempengaruhi keadaan ekonomi negara dan tidak boleh diambil mudah oleh kerajaan PH.

Seterusnya, bagaimana janji-jan­ji PH lain. Golongan LGBT makin berani menuntut hak dan mencabuli peraturan Islam, ma­nakala tuntutan komponennya agar UiTM dibuka kepada bukan Melayu dibiarkan menjadi kemelut keresahan orang Melayu.

Sikap menyalahkan kerajaan ter­dahulu bagi menutup kelemahan kerajaan PH tidak boleh berterusan. Rakyat mahu lihat bagaimana polisi dan dasar baharu yang melegakan rakyat dilaksa­nakan oleh kerajaan PH hari ini. 100 hari telah berlalu, apakah hari berikutnya pentadbiran PH akan terus begini?

Dalam tempoh 100 hari nilai ringgit Malaysia jatuh menjunam. Jumlah aliran keluar wang tunai dan pelaburan dalam negara semakin membimbangkan. Situasi ini yang perlu Menteri Kewangan selesaikan, namun setakat ini sa­ngat jelas beliau nampaknya sa­ngat gagal dan buntu dalam mencari jalan keluar kepada masalah ini. Kesan kegagalan ini bukan hanya merugikan mereka yang mengundinya sahaja tetapi juga kepada banyak pihak.

Hakikatnya, kerajaan dilihat bu­kan hanya gagal menunaikan 10 janji 100 hari, sebaliknya juga mencipta pelbagai kelemahan lain serta menumpukan perkara lain umpamanya meluluskan RM25 juta kepada Formula One (F1) yang nyata tidak memberikan keuntungan kepada rakyat berpendapatan rendah terutama di luar bandar yang sepatutnya diberikan perhatian.

Saya berharap kerajaan PH da­pat melaksanakan amanah de­­­ngan penuh tanggungjawab. Ke­gagalan janji 100 hari PH ja­ngan disambung dengan pelbagai kegagalan lain kerana semua ini akan merugikan rakyat dan negara. Hakikatnya kerajaan BN telah mewariskan yang terbaik kepada negara maka sepatutnya kerajaan PH melakukan lebih baik daripada itu demi rakyat.

DATUK DR. SHAMSUL ANUAR NASARAH ialah Ketua Penerangan 
UMNO dan Ahli Parlimen Lenggong.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN