Media Melayu perlu 
perjuang agenda bangsa - Utusan Malaysia

Media Melayu perlu 
perjuang agenda bangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Ogos – Media-media Melayu perlu memainkan lebih peranan dan tampil ke hadapan dalam memperjuangkan agenda serta mengangkat tamadun bangsa Melayu yang merupakan bangsa teras di negara ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bekas Ke­tua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof. Datuk Dr. Awang Sariyan berkata, dalam situasi dunia masa kini, media dilihat sebagai antara landasan terpenting yang mampu menaikkan malah menjatuhkan sesuatu kuasa atau tamadun dan sehubu­ngan itu, kekuatan media sepatutnya dimanfaatkan sepenuhnya.

“Media-media Melayu perlu ke hadapan dalam memperjuangkan agenda dan tamadun Melayu terutama dalam soal bahasa, budaya, politik dan agama. Jika itu terus diperjuangkan oleh media-media Melayu, saya yakin bangsa Melayu akan menjadi lebih kuat.

“Kita boleh lihat bagaimana bangsa Cina menggunakan media mereka untuk membangkitkan semangat pendidikan dan bahasa, jika mereka boleh mengapa tidak kita sebagai sebuah bangsa teras di negara ini. Kita jangan malu-malu dan segan dalam suasana politik baharu di negara ini yang seolah-olah sudah kalah sebelum berjuang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pertemuan Kumpulan Utusan dengan Tetamu Gerakan Bahasa dan Budaya Melayu di Ibu pejabat Utusan Melayu (M) Bhd. di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Eksekutif Utusan Melayu (M) Bhd., Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir; bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Ahli-ahli Lembaga Pengarah Utusan Melayu (M) Bhd. iaitu Datuk Dr. Ibrahim Yahaya, Datuk Mohd. Azmi Othman, Datuk Ahmad Fauzi Zahari, Wan Zalizan Wan Jusoh dan Dr. Badrul Hisham Mohd. Yusoff.

Turut hadir, Setiausaha Agung, Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Hasan Mad; Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Datuk Zainal Abidin Borhan dan Penolong Ketua Pengarang 1 Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan.

Sementara itu, menurut Awang, pihaknya yakin Kumpulan Utusan sebagai sebuah institusi dan sebagai ‘lidah keramat bangsa’ mampu memainkan pera­nannya dalam terus membawa agenda Melayu seperti yang telah dilakukan sejak sekian lama.

“Apa sahaja yang berkaitan dengan tamadun Melayu termasuklah bahasa dan budayanya merupakan agenda besar yang perlu dipertahankan serta dita­ngani dengan bijaksana dan teliti.

“Sehubungan itu, sekiranya dapat dipadukan tenaga di antara cendekiawan, budayawan dan ilmuan Melayu bersama Kumpulan Utusan, hasrat untuk mengangkat tamadun Melayu dilhat mampu dicapai. Untuk itu juga, Kumpulan Utusan perlu kembali kepada semangat awalnya selain tidak melupakan soal agenda Melayu dan jika itu terus diperjuangkan, kita akan lebih utuh,” tegas beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini