SERDANG – Mayat kanak-kanak lelaki dikenali sebagai Wais Wazzini berusia lima tahun yang maut ditetak bapa kandungnya selesai dibedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Serdang kira-kira pukul 1.30 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, selepas selesai segala urusan di Hospital Serdang mayat kanak-kanak lelaki tersebut akan dikebumikan di kampung halamannya.
“Mayat kanak-kanak malang tersebut dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Kroh, Karak, Pahang petang ini,” katanya ringkas dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam Kosmo! Online melaporkan seorang kanak-kanak lelaki maut ditetak bapa kandungnya di Flat Puchong Permai.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 petang, pihak polis telah menerima panggilan daripada seorang lelaki mendakwa seorang kanak-kanak telah jatuh di tingkat empat blok 11A di flat berkenaan.
Pemeriksaan di lokasi kejadian telah menemui mayat kanak-kanak itu di hadapan sebuah rumah di flat berkenaan dan hasil pemeriksaan mendapati mangsa telah ditetak sebanyak tiga kali ketika sedang tidur.
Turut ditemui di lokasi kejadian ialah sebilah parang. – K! ONLINE










