DUNGUN 20 Ogos – Seorang lelaki maut setelah bahu kirinya tercabut akibat tersepit di besi pedati semasa sedang mengendalikan sebuah ‘conveyor’ di tapak kerja di lombong bijih besi di Bukit Besi, dekat sini, malam tadi.
Dalam kejadian pukul 9.45 malam itu, M. Ganesh, 54, yang cedera parah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Bukit Besi.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan telah menerima laporan berkenaan kejadian tersebut.
Menurut Baharudin, ketika kejadian mangsa yang menetap di Kuantan dikatakan sedang mengawasi pergerakan mesin yang mengasingkan bijih besi.
“Ketika mangsa sedang cuba membuang bijih besi yang tersangkut pada pedati terbabit, tangannya telah digilis hingga putus.
“Rakan mangsa yang mendengar jeritan mangsa bertindak membantu sebelum mengejarkan mangsa dan tangannya yang putus itu ke Klinik Kesihatan berhampiran,” katanya.
Baharudin berkata, mayat mangsa kemudiannya telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut. – UTUSAN ONLINE











