Masjid model Masjidilharam ikonik baharu Gua Musang - Utusan Malaysia

Masjid model Masjidilharam ikonik baharu Gua Musang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MASJID baharu yang dibina menyerupai model Masjidilharam, Mekah bernilai lebih RM23 juta di Gua Musang, Kelantan bakal menjadi mercu tanda baharu untuk menarik pelancong ke negeri ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pembinaan masjid yang diilhamkan oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah di atas tanah berkeluasan 1.5 hektar itu dijangka mampu menampung sehingga 5,000 jemaah.

Keunikan masjid berkenaan bukan sahaja besar tetapi tertumpu kepada rekaan warna, jubin dan hiasan luar termasuklah sembilan menara setinggi 30 meter mirip Masjidilharam, Mekah.

Selain itu, ruang tengah dibina kotak hitam empat segi yang akan mengalirkan air dari atas umpama Kaabah bagi memudahkan jemaah haji dan umrah berkursus sebelum ke Tanah Suci.

Tengku Razaleigh berkata, masjid yang sudah 70 peratus siap dijangka dapat digunakan sepenuhnya pada akhir tahun ini.

Katanya, masjid itu dilengkapi pelbagai kemudahan seperti ruang solat utama; dewan serba guna; rumah imam, ruang kelas, bilik komputer, perpustakaan, tandas dan tempat letak kereta.

“Pembinaan ikon negeri ini adalah bertujuan memberi kemudahan kepada komuniti setempat bagi melaksanakan ibadah dalam sebuah masjid yang selesa serta menjalankan aktiviti kemasyarakatan.

“Masjid ini akan menjadi pemangkin dan mercu tanda pembangunan ummah khususnya di jajahan Gua Musang, di samping bagi menarik lebih ramai pelancong ke jajahan yang terletak di kawasan selatan negeri ini,” katanya.

Tengku Razaleigh berkata, pertambahan bilangan penduduk di situ memerlukan sebuah masjid yang luas serta selesa.

Katanya, dengan pembinaan masjid baharu ini, ia dapat menampung bilangan penduduk untuk solat Jumaat dan juga solat Aidilfitri serta Aidiladha.

“Kita berbangga apabila Gua Musang bakal memiliki sebuah masjid yang begitu unik dan indah,” katanya.

TARIKAN PELANCONG

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, pembinaan masjid ini bakal menjadi tarikan pelancong dan menjana ekonomi penduduk di kawasan Bandar Lama yang semakin lesu dengan pertumbuhan beberapa bandar baharu.

Katanya, rakyat harus bersyukur dan berbangga apabila bakal mendapat kemudahan untuk beribadat.

“Bangunan Masjid Razaleigh lama begitu sempit dan sering dilanda banjir ketika musim tengkujuh sudah tidak mampu lagi menampung jemaah yang ramai.

“Masjid baharu ini akan dilengkapi pelbagai kemudahan untuk jemaah. Selain itu terdapat sebuah kotak hitam dengan ciri hologram yang akan mengalirkan air di tengah-tengah masjid,” katanya.

Sementara itu, ADUN Nenggiri, Ab. Aziz Yusoff yang terlibat dengan pembinaan masjid itu sejak awal lagi berkata, mercu tanda baharu itu akan mengubah wajah Gua Musang sebagai pintu masuk negeri ini begitu simbolik dengan negeri yang terkenal sebagai Serambi Mekah.

Katanya, masjid itu akan menjadi satu produk pelancongan yang berkembang pesat sebagai tempat pelancongan keagamaan.

“Kita melihat banyak negara yang telah melancarkan kempen tahun melawat di negara masing-masing telah mempromosi secara besar-besaran menjadikan pusat keagamaan sebagai salah satu destinasi pelancongan.

“Kita juga berharap Gua Musang juga akan mengambil langkah yang sama untuk menyebarkan keagamaan, di samping membantu meningkatkan ekonomi penduduk,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN