SEMASA sedang berucap dalam satu majlis sempena lawatan kerja di Beluran awal bulan lalu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Jaujan Sambakong berhenti sekejap kerana ‘gangguan’ daripada sekumpulan penyokong Parti Warisan Sabah (Warisan) yang tidak putus-putus melaungkan nama pemimpin dan parti itu.
Senario penyokong yang sangat teruja untuk meraikan kehadiran pemimpin mereka di kawasan pedalaman apatah lagi seorang Naib Presiden parti sememangnya selalu dilihat di mana-mana. Namun ketika berhenti berucap Jaujan yang berpaling ke arah penyokongnya menyampaikan satu pesanan amat ringkas, tetapi membawa pengertian besar.
“Cukuplah, sekarang bukan masa untuk berkempen politik, kita sudah menang, jadi tugas kita sekarang adalah bekerja untuk rakyat,” katanya.
Sebagai pemimpin yang turut dipertanggungjawabkan menjadi Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, mesej tersebut menunjukkan betapa beliau tahu amanah yang dipikul amat besar untuk dilaksanakan jika melihat kepada taraf hidup rakyat di negeri ini yang majoritinya masih jauh ketinggalan berbanding di Semenanjung.
Justeru, sejak diberi kepercayaan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sebagai orang kanan beliau, Jaujan telah membuktikan komitmen tersebut.
Malah bermula dua bulan lalu, pada setiap Sabtu, Jaujan akan menjelajah setiap majlis daerah bagi mendengar keluh kesah pemimpin akar umbi dan menyampaikan aspirasi serta visi beliau yang perlu didokong pihak berkuasa tempatan (PBT) agar objektif membantu rakyat tercapai.
“Tiada gunanya kita sudah berkuasa tetapi tidak dapat bekerja kerana masih lagi berpolitik, maka sebab itulah saya membuat keputusan melawat setiap daerah kerana mahu melihat bagaimana pembangunan dapat diseimbangkan iaitu dinikmati rakyat bandar dan luar bandar secara sama rata.
“Di samping itu, saya juga mahu setiap PBT dapat menjana ekonomi agar lebih banyak pembangunan boleh dibuat terutama berkaitan produk tempatan yang ada agar rakyat juga mampu terlibat sama menjana pendapatan,” katanya dalam satu mesyuarat yang diadakan bersama PBT daerah.
Menurut Jaujan, beliau mahu mendengar sendiri laporan daripada pemimpin PBT daerah bagi mengumpul setiap maklumat berkaitan masalah akar umbi yang akan menjadi panduan dalam membentuk dasar kerajaan sepanjang lima tahun ini demi manfaat rakyat. Sehubungan itu, jika Indeks Penilaian Prestasi (KPI) boleh ditetapkan bagi tempoh tiga bulan ini untuk melihat pemimpin mana yang paling banyak turun padang, Jaujan pasti mendahului senarai itu.
Sementara itu, ketika Jaujan adalah contoh pemimpin yang rajin bekerja, hakikatnya ada segelintir yang masih terus berpolitik berbanding menunaikan tanggungjawab masing-masing sebagai wakil rakyat.
Ini dapat dilihat dalam sidang Dewan Undang Negeri (DUN) Selasa lalu apabila berlaku pertikaman lidah antara Pemangku Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyebabkan kelancaran sidang berkenaan tergendala. Walaupun asalnya kedua-dua pemimpin sedang bersoal jawab tentang usaha kerajaan mewujudkan peluang pekerjaan, perbahasan itu dicemari dengan tuduh-menuduh selepas Madius yang sebelum ini meninggalkan Barisan Nasional (BN) meminta supaya UMNO sebagai parti yang berasal dari Semenanjung agar keluar dari negeri ini.
Hajiji yang berang dengan kenyataan itu menuduh Madius sebagai pemimpin yang tidak berprinsip kerana kemenangannya adalah disebabkan undi ahli-ahli UMNO di DUN Sulaman yang berjaya menutup kekalahan di kawasan lain.
Dengan perkembangan media sosial ketika ini yang membolehkan sidang DUN ditonton secara langsung, setiap pemimpin sepatutnya menunjukkan kepada rakyat bahawa mereka mampu menunaikan tanggungjawab dengan baik di dalam dewan selepas dipilih. Rakyat Sabah terutama di luar bandar masih dahagakan pembangunan dan berharap setiap wakil rakyat dapat membawa perubahan di tempat mereka.
Tetapi adakah harapan yang diletakkan itu mampu dicapai jika pemimpin masih terus berpolitik tidak kira di mana sahaja termasuklah di dalam DUN yang sepatutnya menjadi tempat membahaskan isu-isu akar umbi? Cukup-cukuplah berpolitik kerana pilihan raya sudah tiga bulan berlalu dan rakyat juga telah membuat keputusan siapa yang menjadi kerajaan, justeru kini masanya untuk wakil rakyat bekerja.











