KAJANG – Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, beliau menghormati hak mana-mana ahli parti yang mahu bertanding bagi jawatan Presiden dan siapa sahaja yang dipilih haruslah bersedia untuk bekerjasama bagi memberi nafas baharu dan mengukuhkan semula parti .
Beliau berkata, peranannya ialah untuk memastikan peralihan kuasa secara lancar kepada penggantinya.
Bagaimanapun, beliau berharap pemilihan MCA akan datang tidak akan melemahkan parti secara dalaman.
“Saya tidak mahu melihat terlalu banyak kemelut dalaman berlaku berhubung pemilihan parti. Sekarang kita berada di kedudukan paling lemah dan kita semua perlu bekerjasama sebagai satu pasukan untuk melakukan transformasi dalam parti.
“Nasihat saya ialah marilah kita bekerjasama, barang siapa yang mahu mencabar satu sama lain, marilah duduk dan pastikan kita boleh bersama-sama untuk melakukan pembaharuan dalam parti,” kata beliau kepada pemberita pada upacara mengangkat sumpah untuk pemegang jawatan baharu bagi Bahagian Bangi di sini malam ini. – Bernama











