KUALA LUMPUR 17 Ogos – Malaysia dan China bakal menandatangani tiga memorandum persefahaman (MoU) berhubung industri getah dan minyak kelapa sawit dalam lawatan rasmi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ke republik itu, hari ini.
Dr. Mahathir dijangka menyaksikan majlis menandatangan tiga MoU antara Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan Universiti Tsinghua; Lembaga Getah Malaysia dan Hainan State Farms Investment Holdings Group Co. Ltd. serta Sime Darby Plantation Bhd. dan China National Creals, Oils, Foodstuffs Import and Export Corporation (COFCO) di Beijing pada Isnin depan.
Kementerian Industri Utama memberitahu, MoU itu antara lain bertujuan untuk meneroka peluang baharu pasaran getah dan kelapa sawit menerusi kerjasama kedua-dua negara itu.
“Kunjungan lima hari Perdana Menteri atas jemputan Perdana Menteri RRC, Li Keqiang itu akan ditemani Menteri Industri Utama, Teresa Kok,” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Kenyataan itu memberitahu, pada tahun lalu, sektor pertanian menyumbangkan kira-kira RM23.63 bilion (USD$5.8 bilion) menerusi kerjasama perdagangan kedua-dua negara.
Jumlah eksport pertanian Malaysia ke republik itu sahaja adalah RM19.1 bilion (USD$ 4.7bilion), itu meningkat sebanyak 27 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Eksport produk berasaskan kelapa sawit pula mencatatkan RM9.42 bilion (USD$2.33 bilion) manakala produk getah adalah sebanyak RM8.09 bilion (USD$2.0 bilion). – UTUSAN ONLINE











