LZS, Maik komited teruskan agenda ummah - Utusan Malaysia

LZS, Maik komited teruskan agenda ummah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 22 Ogos – Lembaga Zakat Selangor (LZS) serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan (Maik) kekal komited untuk menjayakan agenda ummah di bawah projek Selangor Prihatin.

Memuatkan artikel berkaitan…
NIK MOHD. AZLAN ABD. HADI
NIK MOHD. AZLAN ABD. HADI

Kali ini projek tersebut diteruskan di Kampung Gong Jenarah, Pasir Puteh di sini membabitkan pembinaan rumah, infrastruktur, surau dan aktiviti penanaman cili sebagai sumber ekonomi.

Timbalan Yang Dipertua Maik, Dr. Nik Mohd. Azlan Abd. Hadi berkata, program Selangor Prihatin di Desa Alam Shah di sini merupakan kerjasama bijak antara kedua-dua agensi dalam meningkatkan taraf hidup asnaf.

“Di bawah program untuk asnaf di Desa Alam Shah ini, kita berharap 28 peserta terlibat mampu keluar daripada garis kemiskinan. Kita turut menyumbang perabot dan kelengkapan dalam rumah peserta.

“Kita akan membantu mereka dengan memantau prestasi dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas kunjungan delegasi LZS di pejabat MAIK di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Abdul Basith Hamid memberitahu, projek bernilai RM10 juta tersebut adalah cerminan rasa prihatin Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang ingin membantu rakyat kurang bernasib baik di luar Selangor.

“Projek yang memakan masa lima tahun berakhir 2020 ini bukan sahaja menumpukan kepada pembinaan rumah untuk penerima malahan kita membantu dari sudut ekonomi. Sebelum projek di sini, kita telah mengadakan projek untuk asnaf di Chuping, Perlis.

“Kita membantu para penerima bantuan untuk menaiktaraf ekonomi mereka dengan menanam cili merah (cili untuk membuat sos),” katanya.

Menurutnya, kira-kira 15 hektar tanah disediakan oleh Maik bagi memastikan Projek Selangor Prihatin menjadi kenyataan.

“Seramai 28 penduduk terlibat dan setiap orang diberi tanah untuk diusahakan tanaman cili.

“Penduduk juga menjalankan projek ikan puyu secara berkelompok dan ia menjadi projek inkubator yang mana mereka menerima sebuah rumah dan tanah setiap seorang,” katanya.

Mengulas mengenai projek cili tersebut, katanya, ia adalah berdasarkan kontrak perladangan dengan Nestlé (M) Sdn. Bhd. yang membolehkan hasil ladang dijual terus kepada syarikat tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN