LONDON 14 Ogos – Virgil van Dijk menegaskan tekanan yang dihadapi oleh Liverpool hadir daripada sikap pemain mereka sendiri yang sentiasa dahagakan kemenangan.
Tumpuan diberikan kepada Liverpool sejak pasaran perpindahan dibuka selepas mereka menjadi kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) yang paling banyak membuat pembelian sekaligus menyebabkan peminat The Reds berharap agar trofi liga dapat kembali ke Anfield selepas kali terakhir melakukannya pada 28 tahun lalu.
“Sudah pasti kami mahukan cabaran. Saya tidak berasa sebarang tekanan namun kami bermain untuk menang bagi setiap perlawanan dan itu mentaliti kami.
“Apa yang penting adalah kami perlu lihat diri sendiri. Kami tahu sekarang kami ada skuad terbaik. Kami ada ramai pemain berkualiti. Semua orang mahu beraksi bersama Liverpool yang mempunyai pemain berkualiti.
“Kami mahu lakukan yang terbaik. Kami mahu melakar kejayaan terbaik jadi kami perlu bersedia untuk berdepan sebarang cabaran dan halangan yang menanti kami,” kata pertahanan Liverpool itu.
Van Dijk memainkan peranan penting bersama The Reds terutamanya di benteng pertahanan kerana sejak dia tiba di Anfield tiada pertahanan yang dapat mengekalkan rekod tanpa bolos seperti dilakukan oleh pemain Belanda itu dalam saingan EPL.
Begitu pun, Van Dijk percaya perjalanan The Reds masih jauh dan mengulas lanjut mengenai penjaga gol baharu Liverpool, Alisson yang menyertai pasukan pada musim panas lalu, dia berkata mereka semakin serasi bersama.
“Dia pemain yang bagus. Kami banyak bersembang. Dia seorang yang suka berterus-terang dan itu amat membantu. Sikapnya itu membantu saya dan rakan sepasukan di bahagian pertahanan. Saya fikir kehadirannya bagus untuk pasukan.
“Dia memiliki banyak kualiti dan itu membantu kami beraksi. Kami bekerjasama sepanjang pra musim (hubungan antara pertahanan) dan kami sentiasa berlatih kerana masih banyak perkara yang perlu dilakukan.
“Kami mengharungi pra musim dengan positif apabila memperoleh keputusan yang bagus dan kami beraksi dengan baik namun sebenarnya kami boleh lakukan dengan lebih baik dan itu hanyalah permulaan. Saya fikir kunci utama kami perlu konsisten dalam setiap perlawanan,” katanya lagi. – AGENSI











