Lima mat rempit termasuk dua pelajar sekolah ditahan - Utusan Malaysia

Lima mat rempit termasuk dua pelajar sekolah ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH – Lima remaja lelaki termasuk dua pelajar Tingkatan Lima yang sedang leka merempit ditahan polis dalam Op Samseng Jalanan di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, dalam operasi bermula pukul 12 tengah malam tadi dan tamat enam jam kemudian itu, polis menahan lima mat rempit berumur 17 hingga 19 tahun.

“Lima remaja yang sedang leka merempit dengan melakukan pelbagai aksi berbahaya itu tidak menyedari kegiatan mereka dipantau pihak polis sebelum semuanya ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau memberi amaran kepada mat rempit yang selalu menjadikan kawasan itu sebagai lokasi merempit dan berlumba haram agar menghentikannya kerana polis akan mengambil tindakan berterusan di kawasan BORR bagi membanteras kegiatan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, pihaknya menjalankan Op Samseng Jalanan di kawasan Bandar Perda, Bukit Mertajam bermula pukul 6 petang semalam dan tamat tiga jam kemudian.

Katanya, dalam operasi itu sebanyak 77 motosikal diperiksa dan 44 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya tidak memakai topi keledar, melanggar lampu isyarat, tiada lessen memandu serta cukai jalan tamat tempoh.

“Operasi itu akan diteruskan dari semasa ke semasa dalam usaha membendung kegiatan mat rempit dan jenayah jalanan di kawasan itu,” katanya. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×