PUTRAJAYA 15 Ogos – Sejumlah RM8.874 bilion telah berjaya diproses melalui bayaran balik dan `set off’ oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) manakala baki berjumlah RM15.605 bilion masih belum dibayar balik kepada pembayar cukai setakat 31 Julai lalu.
LHDN dalam satu kenyataan memberitahu, penangguhan bayaran balik cukai terlebih bayar itu adalah disebabkan oleh amaun yang diperuntukkan dalam Tabung Bayaran Balik Cukai (TBBC) tidak mencukupi.
Penangguhan juga disebabkan kes memerlukan semakan audit yang lebih lanjut untuk memastikan tuntutan bayaran balik adalah benar dan teratur.
LHDN berkata demikian sebagai merujuk kepada laporan Utusan Online semalam yang bertajuk “LHDN ‘Berhutang’ RM10 bilion dengan rakyat?” laporan akhbar Utusan Malaysia hari ini bertajuk “LHDN ‘Hutang’ RM10B?”.
Jelas kenyataan itu lagi, setiap cukai yang terlebih bayar akan diproses dan dibayar balik kepada pembayar cukai berdasarkan kepada Rangka Kerja Pungutan bertarikh 20 April 2016 yang boleh diakses melalui Portal Rasmi LHDNM di www.hasil.gov.my. – UTUSAN ONLINE











