Sepanjang minggu perbincangan rakyat Malaysia banyak terarah kepada persoalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Dalam isu ini, ada pihak yang memperjuang hak sama rata bagi golongan ini, namun rata-ratanya menyuarakan penentangan dan kebimbangan yang mencakupi aspek kesihatan, keselamatan dan kesalahan dari sudut agama Islam.
Kelompok LGBT ini cenderung memilih untuk menjadi apa yang mereka inginkan, walaupun terpaksa membelanjakan ribuan ringgit untuk menampakkan diri sebagai wanita mahupun lelaki sejati, sedangkan mereka bertentangan jantina.
Pensyarah Psikologi, Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja sosial, Universiti Utara Malaysia (UUM), Siti Azura Bahadin memberi pendapat, golongan seperti ini yang kebanyakannya lelaki, ingin menampakkan diri seperti seorang wanita sehingga sanggup melakukan pembedahan dan memakan ubat hormon.
“Walaupun ada dalam kalangan mereka sudah ada yang bertaubat, namun ada yang masih kembali kepada keadaan asal atas sebab tuntutan hidup.
“Ini kerana ada dalam kalangan mereka diberi label jutawan produk kecantikan dan kesihatan selain barang perhiasan wanita. Mereka menjadikan diri sebagai testimoni produk dan model kepada barang sendiri.
“Sebagai masyarakat yang matang dan celik agama kita harus sedar dengan apa yang mereka lakukan.
“Seeloknya tampil memberi teguran sama ada secara terbuka atau tertutup, jangan ikuti mereka dalam media sosial mahupun membeli produk mereka.
“Ini bukan satu penganiayaan tetapi peringatan dan tanda penentangan kita terhadap golongan lelaki yang memang diketahui adalah haram memakai barangan kemas dan berpakaian atau berkeperibadian wanita,” katanya.
Apabila ditanya kepada mengenai isu menggunakan tandas wanita oleh golongan ini, Siti Azura juga sependapat dengan Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr.Mohd. Asri Zainul Abidin yang baru-baru ini yang mencadangkan, mana-mana individu yang keliru untuk menggunakan tandas mengikut jantina masing-masing boleh mendapatan pemeriksaan pakar untuk mendapatkan kepastian fungsi jantina mana yang mengeluarkan air kecil.
“Andai kata kemaluan lelaki yang digunakan untuk buang air kecil, maka ikutlah tandas yang tersebut begitulah jika alat kelamin wanita walaupun muka garang seperti lelaki. Ini sebenarnya demi menjaga maruah dan aurat wanita di dalam tandas.
“Wanita ada hak untuk rasa selesa dan selamat. Lagipun yang masuk ke tandas ada yang untuk mengambil wuduk, aurat mereka akan terdedah kepada yang bukan mahram,” jelasnya.
Siti Azura juga membayangkan bahaya akan dilalui wanita apabila lelaki yang masuk ke tandas itu aktif alat kelaminnya, tetapi berpakaian wanita yang pasti mengundang bahaya lain seperti gangguan seksual.
Kes rogol juga tidak mustahil akan berlaku sekiranya mampu menaikkan syahwat lelaki ‘berkeperibadian’ wanita ini.
Apabila ditanya relevankah sekiranya golongan ini diberi kebenaran menggunakan tandas orang kurang upaya (OKU), beliau berpendapat, tandas OKU memang dikhaskan untuk mereka yang kurang upaya seperti cacat anggota atau OKU mental, bukannya mereka yang cacat alat kelamin.
“Memang sangat tidak wajar berkongsi tandas dengan OKU kerana LGBT bukan tergolong dalam senarai OKU. Kita mengiktiraf hak kemudahan awam OKU bukan hak LGBT. OKU merupakan golongan istimewa yang disediakan kemudahan dan peluang-peluang kehidupan yang lain,” jelasnya.
Sebenarnya, terdapat juga dalam kalangan golongan ini yang memiliki dua jantina. Apabila dilihat dari sudut agama, jika ditakdirkan terdapat dua alat kelamin (khunsa), individu itu perlu pastikan yang mana satukah alat ini lebih dominan dan berfungsi.
Jika kemaluan lelaki lebih berfungsi, mereka wajib berpakaian lelaki walaupun sifatnya agak kelembutan begitu juga sebaliknya.
“Kita bukan ingin memandang rendah atau menghina kaum khunsa tetapi mengharapkan mereka berpakaian sepatutnya dan melakukan solat dan ibadat lain sesuai dengan diri mereka yang sebenar.
“Jika ditakdirkan anak adalah khunsa, ibu bapa harus tegas pada kefungsian alat kelamin yang aktif dan membentuk anak-anak ke arah itu.
“Perbuatan, sama ada lelaki menyerupai perempuan atau sebaliknya, adalah haram bahkan berdosa besar. Ia selari dengan ajaran Islam yang melaknat perbuatan tersebut.
“Pengharaman ini juga penting bagi membendung kes jenayah syariah yang lain seperti liwat dan membendung isu perdagangan seks,” kata Siti Azura.
Selain itu kata beliau, demi maruah dan keselamatan orang awam semua pihak perlu memperjuang hak OKU dan tidak mendedahkan mereka dengan ketidakselesaan dan gangguan keselamatan.
Mencegah lebih baik daripada mengubati. Maruah dan aurat wanita harus dipertahan.
Pondan miliki kecelaruan personaliti
Sementara itu Kaunselor Keluarga, Hushim Salleh memberitahu, hasil daripada sesi perkongsian yang dilakukan di kliniknya, beliau mendapati ramai dalam kalangan pondan yang dalam kes yang menjadi rujukannya, naluri mereka adalah wanita, tetapi syahwat mereka adalah lelaki.
“Sekiranya dibenarkan mereka masuk ke dalam tandas wanita, ini adalah bahaya kerana boleh berlaku gangguan seksual.
“Dari segi psikologi, pondan mempunyai kecelaruan personaliti yang bermaksud jati diri, emosi, nafsu dan naluri boleh berubah disebabkan perubahan situasi,” katanya.
Jelas Hushim, pengalaman cara layanan dan kasih sayang serta didikan pada zaman kanak-kanak memberi kesan besar kepada kanak-kanak apabila dewasa.
Mungkin ada yang pernah mengalami gangguan seksual pada zaman kanak-kanak atau awal remaja boleh membentuk jati diri seseorang lelaki itu menjadi pondan.











