Lelaki miliki dua senapang patah buatan sendiri ditahan - Utusan Malaysia

Lelaki miliki dua senapang patah buatan sendiri ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN 14 Ogos – Polis menahan seorang lelaki yang memiliki dua laras senapang patah buatan sendiri di sebuah bangsal bersebelahan rumahnya di Kampung Sungai Suli Dalam, Sungai Tungku, dekat sini Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd. Marzukhi Mohd. Mokhtar berkata, suspek berusia awal 40-an itu ditahan pada pukul 1 tengah hari.

Katanya, suspek ditahan selepas polis melakukan risikan terhadap suspek yang bekerja sebagai buruh.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ketika serbuan, suspek cuba melarikan diri namun berjaya diberkas bersama selaras senapang patah buatan sendiri.

“Siasatan lanjut di bangsal bersebelahan rumahnya menemukan selaras lagi senapang patah buatan sendiri bersama satu plastik lutsinar mengandungi 15 butir peluru penabur dan satu kelongsong peluru penabur,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Menurut Mohd. Marzukhi, beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk membuat senapang patah termasuk tiga kayu, sebatang laras besi, mesin penebuk lubang dan pemotong besi, gergaji besi dan pemutar skru turut ditemukan.

Katanya, suspek kini direman sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 dan 8A Akta Senjata Api 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan semakan turut mendapati dia mempunyai sembilan rekod jenayah lampau,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN