Lelaki kaya? Itu bonuslah! - Kaka Azraff - Utusan Malaysia

Lelaki kaya? Itu bonuslah! – Kaka Azraff

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELALU memperlihatkan kelibatnya dalam banyak majlis hiburan bertaraf kelas atasan, Kaka Azraff tidak jauh dianggap sebagai parasit yang gemar menempel pada kelompok orang kaya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mungkinlah ada yang tersalah anggap dengan mengandaikan dia begitu. Namun, apabila setiap kali ada sahaja wajahnya di acara-acara membabitkan golongan elit, ia seolah-olah menunjukkan bahawa penyanyi ini seakan ada agenda apabila berada dengan golongan berkenaan.

Bukanlah menidakkan haknya untuk berkawan atau berdamping dengan sesiapa pun yang disukai. Cuma, melalui bisik-bisik di hujung telinga, ada yang menganggap Kaka terlalu ketara memperlihatkan ‘muslihatnya’. Sampaikan, ada antara andaian itu mengaitkan Kaka sedang berusaha mencari jodoh di kalangan orang elit.

Mengaku kehidupannya banyak berada dalam lingkungan itu, Kaka enggan marah-marah dengan tanggapan sebegitu. Tidak juga melenting saat ditebak dengan pertanyaan sama ada benar dia sedang berusaha mencari jodoh daripada kelompok itu untuk menampung hidupnya.

“Sedikit pun saya tidak marah bila orang fikir begitu. Sebenarnya, kebelakangan ini pun ada saya tertanya pada diri sendiri sama ada adakah semua ini yang saya mahukan?

“Adakah saya bergaul dengan mereka ini kerana mahu dapatkan apa yang mereka ada dan miliki? Lalu saya sedar, sebenarnya ini bukanlah apa yang dicari.

“Kalau dari aspek pasangan hidup, jujurnya tidak terlintas langsung dalam hati untuk saya sengaja menempel pada golongan itu dengan niat mahu mencari sasaran tertentu,” katanya.

Menganggap dia masih lagi manusia yang sedar diri dan ruang, penyanyi yang popular dengan lagu Sibuk ini tidak pernah meletakkan harapan agar ada mana-mana lelaki berstatus elit dan tentunya kaya untuk menjadi pasangan hidupnya.

Pun begitu, andai takdir tertulis, dirinya berjodohan dengan lelaki seperti itu, Kaka tentunya menerima dengan hati terbuka.

“Itu kira satu bonuslah. Cuma apa yang saya nak tekankan, itu bukanlah niat asalnya untuk saya bergaul dengan kelompok elit. Saya berkawan dan berdamping dengan sesiapa sahaja dan tidak pernah memilih orang.

“Saya ikhlas dalam bersahabat kalau mereka sekepala dengan saya. Kalau dapat pasangan hidup yang boleh layan saya dengan baik, itu sudah cukup buat diri.

“Tak kisahlah orang biasa pun asalkan dia seorang lelaki yang merendah diri, mahu berusaha dan pandai cari duit untuk keluarga,”katanya.

Imej berani

Dalam pada itu, ditanya mengenai imejnya yang dilihat semakin berani apabila tampil seksi dalam persalinan gaun hitam dengan bahagian atas terdedah jelas menampakkan kulit ketika di acara Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) 2018, Kaka juga ada jawapan sendiri.

Menyifatkan ia masih lagi belum keterlaluan, Kaka sedar mungkin akan ada yang tidak senang dengan pendiriannya yang menganggap fesyen itu masih minimalis dan tidak seksi.

“Imej dan fesyen yang saya sarungkan di badan, apa yang anda nampak, itu adalah diri saya. Saya tak suka seksi dan memang tak boleh bawa imej macam tu disebabkan personaliti diri yang cenderung pada elemen maskulin feminin.

“Ya, mungkin ada yang anggap saya berani dalam fesyen, tetapi belum sampai tahap seksi keterlaluan. Saya masih menjaga batas dan adab ketimuran dalam bergaya,”katanya.

Jaga hati sendiri

Mengaku dirinya kini kembali solo setelah cinta lamanya dengan seorang usahawan tempatan tidak menjadi, Kaka menganggap buat masa ini adalah lebih baik dia tidak membuat sebarang komitmen dalam hubungan cinta.

Baginya, andai dia sendiri tahu dirinya tidak mampu memberi keutamaan dan fokus pada hubungan, untuk apa dia berbuat demikian lantaran enggan ada hati yang akan terluka kerananya.

“Lebih seronok macam ni. Tak ada hati nak kena jaga, saya cuma jaga hati sendiri dan hati mama. Penatlah bercinta tapi bila tengok kawan-kawan lain berkahwin, terdetik juga hati tu nak kahwin.

“Tapi dengan kesibukan kerja sekarang, macam manalah saya nak tumpu pada pasangan atau membina keluarga? Kalau saya ada hubungan, saya tak fikir diri mampu jadi adil kerana tumpuan saya lebih banyak pada perihal kerja,”katanya.

Kongsi Kaka, pengalaman lalu juga mengajar dirinya untuk tidak menyakiti hati orang kerana tidak semua benar-benar faham akan kerjayanya sebagai seorang anak seni.

“Lebih baiklah saya tak beri harapan pada sesiapa. Memang saya seorang yang happy go lucky cuma apabila ada perkara yang mengganggu contohnya bergaduh dengan pasangan atau apa, saya mudah hilang fokus.

“Cukup tak suka orang kacau mood dan kalau boleh, saya tak mahu ada aura negatif dalam ruang hidup. Jadi, sendiri sajalah dahulu buat waktu ini,”katanya.

Mengaku dirinya tidak tertekan pun dengan soalan lazim bila mahu menamatkan zaman bujang, Kaka menganggap dirinya masih bertenang apalagi tiada paksaan dari keluarga mengenai isu itu.

Baginya, andai ada yang bertanya, itu bukan bermakna mereka mahu menyibuk menjaga tepi kainnya, tetapi atas dasar prihatin.

“Tak pernah rimas pun kalau orang tanya dan saya akan cari jalan terbaik untuk menjawab tanpa menyinggung perasaan orang,” katanya yang kini berusia 29 tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN