Lebih 75,000 warga Palestin hilang kerja - Utusan Malaysia

Lebih 75,000 warga Palestin hilang kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA 13 Ogos – Lebih 95 peratus kilang-kilang di Genting Gaza te­lah menghentikan pengeluaran di­sebabkan penutupan laluan perdagangan komersial Kerem Shalom antara Israel dan kawasan pesisiran pantai, lapor agensi berita Xinhua semalam.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Palestin Gaza, Ali Hayek dalam kenyataannya berkata, lebih 75,000 pekerja kini terpaksa menganggur akibat masalah itu.

Bulan lalu, Israel menutup satu-satunya jalan perdagangan antara Genting Gaza dan Israel untuk memberi tekanan kepada pejuang Hamas supaya menghentikan pelepasan belon dan layang-layang api dari sempadan Gaza yang dikatakan telah menyebabkan kerugian besar di pihak Israel.

Memuatkan artikel berkaitan…

Laluan perdagangan itu dilaporkan tidak ditutup sepenuhnya, sebaliknya Israel hanya membenarkan keperluan asas dan makanan sahaja dihantar ke sempadan Gaza dan menghalang beratus-ratus jenis bahan mentah yang digunakan untuk produk perindustrian serta pertanian.

“Malangnya, penutupan satu-satunya pusat laluan ko­mersial utama Kerem Shalom dan pengharaman penghantaran bahan mentah telah menyebabkan lebih daripada 95 peratus kilang di Gaza tidak beroperasi,” kata Hayek.

Beliau memberi amaran bahawa penutu­pan persimpangan komersial dan penutupan kilang akan meningkatkan kadar kemiskinan dan pengangguran di Gaza.

Langkah ketat itu sekali gus akan mendatangkan lebih banyak bencana kemanusiaan terhadap penduduk Gaza.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bebas Palestin, Jamal al-Khudari yang juga pengerusi jawatankuasa menentang sekatan Israel berkata, laluan persimpangan Gaza adalah pen­ting terhadap kemanusiaan dan harus dikecualikan daripada sebarang pertikaian politik atau keselamatan.

Beliau mendedahkan bahawa selepas penutupan laluan komersial Kerem Shalom bulan lepas, dari segi ekonomi, kerugian Gaza mencecah hampir AS$100 juta (RM410 juta).

Sementara itu, Menteri Pertahanan Israel, Avigdor Lieberman berkata, pertempuran baharu antara Israel dan Hamas tidak dapat ditolak meskipun terdapat cubaan mengadakan gencatan senjata.

Lieberman dalam kenyataan videonya berkata, persoalannya bukan berlaku konfrontasi atau tidak tetapi bilakah ia akan berlaku. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN