Lebih 700 pemohon PPR Kota Bharu digugurkan - Utusan Malaysia

Lebih 700 pemohon PPR Kota Bharu digugurkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 25 Ogos – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan menggugurkan semula senarai kira-kira 700 pemohon Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Jalan Kelochor di sini kerana mendapati permohonan dibuat tidak mengikut syarat yang ditetapkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, pemilihan yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu sebelum ini tidak telus kepada golongan sasar seperti pendapatan isi rumah di bawah RM3,000.

Oleh sebab itu, beliau berkata, pihak kementerian akan membuka balik permohonan semula kepada golongan berkelayakan sehingga 13 September ini.

“Apabila saya menghadiri taklimat bersama pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan semalam, dimaklumkan sudah ada seramai 325 penghuni yang dipilih dari empat hingga lima penempatan semula kampung setinggan di PPR itu.

“Kita hendak pemilihan mesti telus dan syarat masih sama iaitu yang berpendapatan di bawah RM3,000 dan sudah tentu permohonan yang diterima mesti banyak.

“Maka, kita akan tapis untuk memilih mereka yang benar-benar layak dan saya hendak 1 Oktober nanti mesti ada serahan kunci kepada pemilik rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) 2018 PKR negeri di Dewan Perniagaan Cina, di sini hari ini.

Yang turut hadir, calon Ketua Wanita PKR, Haniza Mohamed Talha dan Pengerusi PKR negeri, Ab. Aziz Ab. Kadir.

PPR KOta Bharu yang terletak di Jalan Kelochor, Wakaf Mek Zainab bernilai RM190 juta itu mempunyai 20 tingkat dan 1,000 unit rumah. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini