KUALA LUMPUR – Lebih 6,000 peserta menyertai acara larian BizRun 2018 anjuran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dengan kerjasama Kelab Sukan Kecergasan MyFit di Padang Merbok, di sini pagi tadi.
Acara yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu lima dan 10 kilometer (km) disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail tepat pukul 7.30 pagi.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Jamil Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Zahrah Abdul Wahab.
BizRun 2018 turut mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Record (MBOR) sebagai acara larian yang mendapat penyertaan syarikat dan perniagaan paling ramai di Malaysia iaitu sebanyak 780 syarikat.
Seramai 10 peserta terawal bagi jarak 10km kategori lelaki atau wanita yang berjaya menamatkan larian turut diberikan hadiah wang tunai RM1,000 setiap seorang manakala RM500 pula bagi peserta larian pada jarak 5km.
Peserta bertuah turut berpeluang membawa pulang hadiah seperti kereta Perodua Axia, motosikal dan barangan elektronik. – K! ONLINE











