MINA 21 Ogos – Jemaah haji Malaysia tiba di Mina bagi melakukan satu lagi tuntutan ibadah haji iaitu melontar di tiga jamrah.
Mereka menyertai lebih tiga juta umat Islam dari seluruh dunia yang bergerak dari arafah malam tadi.
Lebih 30,200 jemaah Malaysia bertolak ke Muzdalifah seawal selepas maghrib, malam tadi secara berperingkat selepas menyempurnakan rukun haji kedua iaitu berwukuf di Arafah.
Selepas bermabit di Muzdalifah, kumpulan pertama jemaah terus ke Mina bermula pukul 11.55 malam tadi dan kesemua yang lain sampai secara berperingkat kira-kira pukul 7 pagi ini.
Jemaah akan melontar Jamrah Kubra selepas waktu asar iaitu pukul 3.48 petang (8.48 malam waktu Malaysia) iaitu waktu yang dikhususkan oleh Arab Saudi pada tahun ini untuk jemaah Malaysia dan Asia Tenggara yang lain.
Selepas menyempurnakan ibadat melontar di Jamrah Kubra, jemaah sudah memperoleh tahalul awal iaitu bebas daripada 10 larangan ihram dan terikat dengan tiga sahaja lagi.
Mereka akan berada di Mina sehingga 13 Zulhijah untuk melontar di ketiga-tiga jamrah iaitu Sugra, Wusta dan Kubra pada hari tasyrik 11, 12 dan 13 Zulhijah.
Jemaah kemudiannya ke Mekah untuk tawaf dan sai bagi menyempurnakan rukun haji.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof ketika melawat klinik kecemasan Tabung Haji di Arafah semalam berkata, tahun ini usaha-usaha pencegahan yang dilakukan dari awal berjaya mengurangkan bilangan jemaah yang menerima rawatan akibat cuaca panas semasa wukuf.
“Saya sempat melawat klinik itu tadi dan hanya ada tiga pesakit menerima rawatan yang mungkin keuzuran disebabkan usianya kerana cuaca terlalu panas sehingga sesak nafas dan ada yang menghidap sakit jantung dari Malaysia, tetapi semuanya terkawal,” katanya.
Menurutnya, klinik berkenaan mempunyai doktor pakar yang mengendalikan kes-kes berkenaan.











