LONDON 21 Ogos – Jurgen Klopp menghambur pujian kepada pemainnya kerana berjaya mematikan tentangan hebat Crystal Palace dan menang dengan cara ‘buruk’ ketika menumpaskan skuad The Eagles 2-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris, hari ini.
Liverpool yang dibantu aksi cemerlang tonggak pertahanan, Virgil van Dijk, selain kad merah pemain tuan rumah, Aaron Wan-Bissaka pada minit ke-75 mencatat kemenangan tanpa bolos dalam dua perlawanan berturut-turut.
“Kamu kena bermain mengikut keadaan dan menjadi pencabar sebenar. Bermain buruk atau lakukan apa sahaja untuk kemenangan.
“Sasaran kami adalah menjadi pesaing paling sukar dan kami lakukannya hari ini,” kata Klopp, yang bagaimanapun tidak gembira dengan prestasi bawah par Trent Alexander-Arnold dan Andy Robertson.
Ketika perlawanan seakan-akan berkesudahan Liverpool menang 1-0, kesilapan yang dilakukan pertahanan Palace membolehkan Reds menambah satu jaringan pada waktu kecederaan menerusi Sadio Mane.
Jurulatih dari Jerman itu berkata, pemainnya menunjukkan keberanian dan keinginan untuk menyerang bagi mendapatkan gol kedua walaupun secara fizikalnya mereka kepenatan.
“Pada waktu seperti ini, tenaga amat rendah dan mungkin pemain memerlukan sedikit pertolongan daripada pengurus yang garang – ‘lari atau saya bunuh kamu’.
“Mereka melakukan tugas masing-masing dengan menakjubkan, terutama ketika menyerang,” kata Klopp lagi.
Kemenangan di Selhurst Park membolehkan Reds menduduki tangga kedua, berkongsi enam mata dengan pendahulu, Manchester City namun dipisahkan dengan perbezaan gol.
Bagaimanapun, Klopp menegaskan, dia tidak mahu berasa terlalu teruja memandangkan baru dua perlawanan dihadapi dan perjalanan liga masih jauh.
Sementara itu, pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk mengakui, mereka berdepan kesukaran untuk menembusi benteng Palace hingga terpaksa menanti minit ke-45 bagi memperoleh gol pertama hasil sepakan penalti James Milner setelah Mohamed Salah dijatuhkan oleh Mamadou Sakho.
“Pertarungan yang sukar dan kami sudah mengetahuinya sebelum perlawanan bermula. Saya tidak fikir pasukan besar akan memperoleh kemenangan selesa. Saya fikir kami layak memperoleh tiga mata,” katanya. – AGENSI











