LONDON 17 Ogos – Sudah menjadi trend dalam kalangan golongan elit di kawasan bandar seperti New York, Denver dan Los Angeles menghindari haiwan peliharaan seperti anjing dan kucing, tetapi sebaliknya mereka membela ayam.
Lapor Oddity Central, memelihara ayam kini turut menjadi simbol status pemiliknya.
Seorang usahawan wanita dari New Hampshire, Julie Baker kini mengambil manfaat daripada trend tersebut dengan menghasilkan lampin ayam.
Kira-kira 10 tahun lalu di sebuah ladang kecil di Claremont, Julie dan anak perempuannya memelihara ayam dan secara tidak sengaja mereka menonton video di laman Youtube yang memaparkan ayam memakai lampin agar tidak membuang najis merata-rata.
Video tersebut memberi idea kepadanya untuk membuat dan memakaikan lampin kepada ayam peliharaannya, tambahan pula anak perempuannya sering membawa ayam kegemarannya, Abigail masuk ke dalam rumah mereka.
Julie kemudian menjahit beberapa lampin kapas untuk ayam jenis Old English, seterusnya menerima tempahan lampin serupa daripada pemilik ayam lain.
Dia membuka perniagaan secara dalam talian, Pampered Poultry bersama anak perempuannya dan kini produk perniagaannya semakin popular.
Pada mulanya, lampin ayam dijual kepada rakan-rakannya tetapi terus meluas kepada pelanggan apabila meningkatnya pemelihara ayam di kawasan bandar.
Ketika ini, Julie berjaya menjual 500 hingga 1,000 lampin setiap bulan di 50 negeri, dengan harga AS$18 (RM74) dan kini turut menceburi jualan pelindung bulu ayam.











