KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan tindakan drastik apabila menukar beberapa lagi Ketua Polis Daerah berikutan kegagalan mereka membanteras aktiviti perjudian haram di daerah masing-masing.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun (gambar) berkata, arahan pertukaran telah dikeluarkan kepada beberapa Ketua Polis Daerah dan pihaknya sedang memantau Ketua Polis Daerah lain yang juga mungkin tidak mampu menangani isu judi.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan jumlah pegawai dan daerah yang terlibat dalam pertukaran itu.
“Arahan spesifik telah diberikan kepada Pengarah Jabatan, Ketua Polis Negeri dan Ketua-Ketua Polis Daerah di seluruh negara. Jika masih wujud pusat-pusat perjudian haram di kawasan mereka, maka tindakan serta-merta akan dikenakan,” katanya selepas menyempurnakan majlis perasmian Kursus Komunikasi Profesional di Maktab Polis Diraja Malaysia Kuala Lumpur di sini semalam.
Turut hadir Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan (Latihan) PDRM, Datuk T. Narenasagaran.











