KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sedang mengkaji kemungkinan untuk menghentikan kutipan dana Tabung Harapan Malaysia.
Beliau berkata, kerajaan belum memilih tarikh untuk tabung itu ditutup.
“Kami belum putuskan lagi, mungkin bulan depan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perbincangan meja bulat dengan pemimpin perniagaan ASEAN di sini,hari ini.
Beliau mengambil perhatian bahawa tabung itu membuktikan rakyat Malaysia sayangkan negara mereka dan bersedia membuat pengorbanan untuk menyelesaikan isu hutang negara.
“Saya fikir ia agak jelas bahawa rakyat, malah yang mempunyai jumlah wang sedikit pun bersedia membantu untuk membantu menyelamatkan negara”.
Mahathir mengumumkan penubuhan tabung itu pada 30 Mei untuk membolehkan rakyat Malaysia menyumbang bagi mengurangkan kadar hutang negara. Kutipan tabung itu setakat 3 petang hari ini berjumlah RM179.9 juta. – Bernama











