‘Kuasa’ budi bahasa - Utusan Malaysia

‘Kuasa’ budi bahasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DULU selalu kita mendengar ramai yang mengatakan bahawa tidak berguna atau tidak bermakna wajah yang cantik atau tampan, kaya raya dan berpangkat, tetapi miskin dengan budi bahasa. Kalau tiada budi bahasa dan biadab, maka cacatlah semuanya. Orang tidak memandang kepada rupa dan harta semata-mata, yang lebih dipandang adalah budi bahasa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Betulkah, tidak memandang rupa dan harta? Sebab, sekarang ini ramai saja yang memandang atau memilih ­kedua-duanya. Memang, orang lebih cenderung memandang rupa dan harta, tetapi kalau tiada budi bahasa, tidak beradab, rasanya, mula-mula sajalah dapat bertahan, lama-lama meluat juga.

Hakikatnya, sekarang pun begitu juga. Siapa kata di­sebabkan peredaran masa, sebahagian besar daripada kita tidak lagi menyanjung tinggi adab dan budi bahasa, hanya memandang hal-hal kebendaan dan yang berkaitan dengan kepentingan diri sendiri. Budi bahasa tolak tepi.

Saya percaya, keutamaan melihat kepada budi bahasa ini, tidak akan ditelan zaman walaupun kita sedang melalui ledakan teknologi komunikasi maklumat (ICT), media baharu atau entah apa lagi ledakan yang meletup-letup di masa akan datang.

Sedangkan orang yang kurang budi bahasanya pun, suka bercakap kasar dan gemar memaki hamun tetapi apabila bercakap dengan orang lain, dia pun tidak tahan dan tidak mahu berkomunikasi dengan orang yang tiada adab. Walaupun itu sebenarnya adalah cerminan dirinya sendiri juga.

Justeru, jangan pandang rendah dan remeh tentang ‘kuasa’ budi bahasa. Penilaian orang, pusing-pusing ikut mana pun, akhirnya tetap melihat pada budi bahasa seseorang. Sesiapapun, tidak suka berdepan dan berurusan dengan orang yang tiada budi bahasa.

Semua golongan, tidak kira daripada peringkat pemimpin negara, pemimpin masyarakat, golongan pekerja, pelajar dan rakyat marhaen keseluruhannya, dinilai melalui percakapan dan adabnya.

Maka, bahasa memainkan peranan yang amat penting. Cantiknya berbahasa, orang akan suka. Kesatnya bahasa, orang akan hilang rasa hormat sekali gus menjauhkan diri.

Sebab itu, apabila mana-mana pemimpin menggunakan bahasa yang kesat, kasar dan tidak melambangkan tinggi pendidikannya , tidak kiralah ketika di Parlimen atau ber­ucap di mana-mana percayalah lama-kelamaan, daripada elok-elok ramai orang menyokongnya, akhirnya dia akan sedikit demi sedikit hilang pengikut. Siapa saja yang suka pemimpin yang gemar menggunakan bahasa yang kesat dan cakap merapu? Rakyat sekarang ini, bukannya tidak cerdik, mengikut kata membuta tuli.

Golongan ini sepatutnya lebih berhati-hati, kerana mereka menjadi tumpuan ramai, contoh dan idola. Tidak payahlah mengeluarkan bahasa-bahasa yang bukan-bukan. Ia hanya akan merugikan dan mengaibkan diri sendiri.

Begitu juga penyokong-penyokong parti politik yang sebenarnya lebih banyak tergolong dalam kategori lebih sudu daripada kuah. Kalau minat mengulas isu politik, tiada sesiapa pun nak halang atau kisah. Tapi tak perlulah, memaki hamun dan mencarut. Bahasa kita ini boleh dipelbagaikan, kalau hendak menyindir dan mengata pun, boleh. Cuma kena tahu menyusun ayat, bukan terus memaki hamun dan mencarut, yang membuatkan ulasan anda nampak murah dan kebudak-budakan.

Di mana-mana pun, kita masih mengharapkan semua orang berbudi bahasa. Di tempat kerja, di pusat beli-belah, di hospital, di tempat makan dan ketika berurusan dengan mana-mana perkhidmatan kaunter. Kita mahu dilayan dan mendapatkan layanan yang baik.

Tetapi kalau mahu orang berbuat baik kepada kita, kita pun mestilah melakukan perkara yang sama. Janganlah bersikap berat sebelah. Yang kita selalu perhatikan, ramai yang mahu mendapat layanan baik, tetapi mencari ­kesalahan dan mencari pasal dengan orang lain, terutamanya semasa berurusan di kaunter-kaunter. Mengharap­kan dilayan baik, tetapi diri sendiri tidak sabar, bercakap kasar dan biadab.

Dan sebenarnya, bukan susah pun untuk beradab dan berbudi bahasa. Tetapi itulah, yang senang menjadi susah, bila sudah terbiasa, lebih-lebih lagi yang dah masuk ­kategori yang sudah sukar untuk dilentur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN