JAKARTA 22 Ogos – Kuartet renang gaya bebas lelaki negara melangkah ke pentas final 4×100 meter (m) Sukan Asia 2018 selepas mencatatkan masa keenam terpantas semasa sesi kelayakan di Pusat Akuatik Gelora Bung Karno, di sini sebentar tadi.
Pasukan negara yang dibarisi Welson Sim, Chan Jie, Keith Lim dan Foong Wei Tze mencatatkan 3 minit 22.89s bagi mendapatkan tempat dalam saingan lapan kuartet terbaik namun agak jauh ketinggalan berbanding rekod kebangsaan 3:21.79s.
China seperti dijangka terus mendominasi acara di kolam renang dengan catatan 3:17.30s untuk berada di kedudukan teratas aksi saringan.
Sementara itu, Chan Jie gagal melepasi saringan 100m kuak kupu-kupu selepas menduduki tempat ke-13 daripada 31 peserta dengan catatan 54.20s. – UTUSAN ONLINE











