Korea Utara ingkar? - Utusan Malaysia

Korea Utara ingkar?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON 31 Julai – Satelit pengintip Amerika Syarikat (AS) mengesan aktiviti baharu di kilang Korea Utara yang menghasilkan peluru berpandu antara benua (ICBM) yang mampu sampai ke Amerika di tengah-tengah usaha untuk melucutkan senjata nuklear Pyongyang.

Seorang pegawai kanan AS yang tidak mahu didedahkan berkata, gambar dan imej infra merah merakamkan kende­raan bergerak keluar masuk dari kemudahan di Sanumdong itu tetapi tidak menunjukkan tahap kemajuan pembinaan peluru berpandu.

Washington Post semalam me­laporkan bahawa Korea Utara di­lihat membangunkan satu atau dua peluru berpandu balistik di kemudahan penyelidikan terbesar di pinggir Pyongyang dengan memetik jurucakap tidak dikenali.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut jurucakap itu, seke­ping gambar menunjukkan sebuah trak dan sebuah treler yang tertutup sama seperti yang digunakan Pyongyang untuk menggerakkan ICBM mereka.

“Oleh kerana, ia bertutup, adalah mustahil untuk men­getahui jenis muatan yang dibawa ken­deraan tersebut,” katanya.

White House dalam pada itu memberitahu, mereka tidak me­ngulas tentang maklumat risikan ketika pegawai kanan di pejabat presiden Korea Selatan memaklumkan agensi risikan AS dan Seoul mengikuti sebarang perkembangan di Korea Utara.

Bukti yang diperoleh bulan ini menunjukkan peningkatan aktiviti di kemudahan peluru berpandu dan nuklear Pyongyang di sebalik rundingan dengan Amerika dan persidangan Jun lalu antara pe­mimpin Korea Utara, Kim Jong-un dan Presiden AS, Donald Trump.

Tidak lama selepas pertemuan itu, Trump mengumumkan bahawa Korea Utara tidak lagi memberikan ancaman nuklear dengan Jong-un komited untuk berusaha ke arah pelucutan senjata nuklear negara tersebut.

Namun, Pyongyang tidak mengemukakan sebarang butiran tentang perancangan mereka melaksanakan langkah itu dan rundingan selanjutnya tidak berjalan dengan lancar.

Bagaimanapun, ini bukan pertama kali agensi risikan AS bertentangan dengan sikap optimistik presiden mereka.

Pada Jun lalu, pegawai AS memaklumkan kepada media negara ini bahawa agensi risikan percaya Korea Utara telah me­ningkatkan pengeluaran bahan bakar untuk senjata nuklear di sebalik janji Pyongyang melucutkan senjata nuklearnya.

Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo memberitahu Jawatankuasa Perhubungan Luar Negara Senat AS minggu lalu bahawa Korea Utara meneruskan penge­luaran bahan api bom nuklear walaupun berjanji melucutkan senjata.

Namun beliau menegaskan pentadbiran Trump masih mencapai kemajuan dalam rundi­ngannya dengan Pyongyang.

Bekas perunding Jabatan Negara AS dan pengasas 38 North, badan pemantau aktiviti Korea Utara berkata, adalah tidak rea­listik untuk menjangkakan Pyongyang akan menghentikan program persenjataan mereka.

Sementara itu, Korea Utara dan Selatan mengadakan perbinca­ngan ketenteraan hari ini berikutan dakwaan Amerika mengesan aktiviti baharu di kilang peluru berpandu di Pyongyang.

Mesyuarat kedua diadakan sejak Jun lalu berlangsung di perkampungan Panmunjom di Zon Bebas Tentera (DMZ) sebagai sambungan sidang kemuncak antara dua Korea pada April lalu selepas pemimpin kedua-dua negara bersetuju meredakan ke­tegangan dan menghentikan ‘semua pertelingkahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×