KUALA LUMPUR 25 Ogos – Seorang kontraktor tidak menyangka amalan menyimpan menerusi Sijil Simpanan Premium (SSP) Bank Simpanan Nasional (BSN) sejak tiga tahun lalu melayakkannya menerima ganjaran berupa simpanan tunai bernilai RM1 juta.
![]() |
|
AHMAD Zharif Robbani
|
A.Z. Rabbani Rozali, 33, yang merupakan pemenang Cabutan BSN SSP untuk Julai berkata, dia mengetahui berita itu selepas wakil BSN datang ke rumahnya di Kota Bharu, Kelantan untuk memaklumkan perkara tersebut, bulan lalu.
“Ini kali pertama saya memenangi pertandingan yang sangat bermakna dalam hidup saya kerana sebelum ini saya memang tidak berpeluang memenangi apa-apa pertandingan yang besar seperti ini.
“Sebelum ini saya pernah menyimpan dalam jumlah yang kecil, tetapi saya menjualnya kerana tidak menang dan alhamdulillah, tahun ini rezeki berpihak kepada saya,” katanya ketika ditemui dalam majlis penyerahan hadiah kepada pemenang-pemenang BSN SSP di Wisma BSN di sini, hari ini.
Menurut Rabbani, dia berhasrat untuk menambah nilai hidup ahli keluarganya serta ingin membawa mereka menunaikan ibadah umrah menggunakan wang yang dimenanginya.
Dalam pada itu, BSN turut meraikan dua pemenang cabutan istimewa bagi Julai, iaitu Norhayati Sarif, 63, yang memenangi kereta BMW 318i dan Nur Fatihah Hasyun Mohamad Zainuddin, 15, yang memenangi BSN SSP RM 10,000. – UTUSAN ONLINE












