Kontraktor didenda longgok sampah - Utusan Malaysia

Kontraktor didenda longgok sampah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 13 Ogos – Sebuah syarikat kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi bagi pertuduhan melonggokkan sisa pepejal terkawal di kawasan kediaman di Bandar Selesa Jaya, di sini, tahun lalu.

Syarikat TS Plumbing & Construction (M) Sdn. Bhd. yang diwakili Wong Woon Chin mengaku salah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Jailani Rahman.

Mengikut pertuduhan, syarikat itu didakwa melakukan kesalahan melonggokkan sisa pepejal pembinaan di Lot 127197 berhampiran dengan Bandar Selesa Jaya pada pukul 10.26 pagi, 9 Mei tahun lalu.

Bagi perbuatan itu, syarikat boleh didakwa di bawah Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 71(8) iaitu denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Kes yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nor Sakinah Ibrahim memohon hukuman setimpal terhadap syarikat yang diwakili peguam Nurul Asyiqin Azman dikenakan mengambil kira kepentingan awam.

Hakim menjatuhkan hukuman denda RM18,000 ke atas syarikat berkenaan mengambil kira kepentingan awam kerana membuang sampah di kawasan kediaman dan boleh menjejaskan kesihatan penduduk.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN