JAKARTA 22 Ogos – Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) tidak kisah andai terpaksa mengeluarkan belanja sehingga RM100,000 sebagai ganjaran buat atlet negara yang cemerlang dalam kempen Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang.
Skuad olahraga negara tiba pada hari ini di Perkampungan Atlet, Kemayoran sebelum memulakan aksi pada 25 Ogos ini bagi memburu sasaran sekurang-kurangnya satu pingat dalam kempen Sukan Asia.
Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim berkata, sejumlah RM10,000 menanti buat mana-mana atlet olahraga yang berjaya menyumbang tidak kira apa jua pingat dalam temasya di Jakarta.
“Jika ada yang berjaya memperbaharui rekod lama kami akan beri RM5,000 dan tambahan RM1000 kerana berjaya mencipta rekod baharu.
“Sementara bagi yang meraih pingat emas, perak atau gangsa mereka akan memperoleh RM10,000.
“Ini adalah bukti bahawa KOM sentiasa menghargai pengorbanan atlet yang bertanding dalam Sukan Asia,” katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











