LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp teruja dengan debut pertama Naby Keita bersama pasukan itu dan mengakui pemain tengah tersebut mampu melakukan suatu yang lebih baik bersama The Reds.
![]() |
|
KEITA memulakan debut di EPL dengan cukup bergaya apabila membantu Liverpool membenam West Ham 4-0 pada aksi kelmarin.
|
Pemain skuad kebangsaan Guinea itu telah menyertai Liverpool tahun lalu dengan yuran perpindahan dilaporkan sebanyak £53 juta (RM276.56juta). Namun, dia kekal di RB Leipzig selama satu musim sebagai pemain pinjaman.
Liverpool dilihat mengalami sedikit masalah di bahagian tengah musim lalu apabila mereka kehilangan Philippe Coutinho selain berdepan masalah kecederaan pemain di posisi berkenaan.
Bagaimanapun, Keita telah diturunkan sepenuh masa ketika Liverpool berjaya membenam West Ham United 4-0 di Anfield kelmarin.
“Sudah pasti ia adalah satu persembahan yang baik oleh pasukan untuk aksi pembukaan kali ini.
“Sejak enam minggu lalu, saya tidak membuat sebarang perbandingan antara pemain baharu dengan pemain sedia ada seperti James Milner dan Georgino Wijnaldum kerana pada saya, ia adalah sama kerana mereka semua akan melakukan yang lebih baik menjelang musim baharu.
“Bagi Naby, sememangnya dia seorang pemain yang bagus dan saya sentiasa mengimpikan dia dapat beraksi dengan baik seperti mana di Leipzig sebelum ini.
“Dia mampu bermain di pelbagai posisi, namun meletakkannya di bahagian tengah adalah keputusan yang terbaik.
“Dia dibantu pemain-pemain lain ketika beraksi di atas padang dan itulah yang kami harapkan,” kata Klopp. – Agensi












