Kilang diarah tutup hingga siasatan selesai - Utusan Malaysia

Kilang diarah tutup hingga siasatan selesai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 13 Ogos – Kilang memproses ais di Jalan Nagasari, Seksyen 36 di sini yang mengalami kebocoran gas ammonia sehingga meragut nyawa dua pekerja warga asing diarahkan tutup sehingga kerja-kerja menyahcemar gas dan siasatan punca kejadian selesai dilakukan pihak berkuasa.

Siti Mariah Mahmud

Pengerusi Jawatan­kuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr. Siti Mariah Mahmud berkata, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Jabatan Ke­selamatan dan Kesihatan Pekerjaan serta bomba akan menjalankan siasatan dan menghantar laporan lengkap berhubung kejadian berkenaan kepadanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun katanya, maklumat awal diterima mendapati kilang tersebut mempunyai lesen operasi yang sah namun tidak mempunyai butiran lanjut bila ia bermula.

“Saya telah pun melawat kilang tersebut dan menunggu laporan lanjut daripada pihak berkuasa tempatan, pihak-pihak berkaitan dan bomba berhubung punca kejadian selain tahap keselamatan kilang.

“Kilang ini tidak boleh beroperasi sehingga siasatan lengkap dijalankan pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Terdahulu, turut melawat kilang ber­kenaan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni.

Dalam pada itu, Mohd. Zawawi berkata, beliau akan membawa permasalahan berhubung kilang-kilang yang beroperasi berdekatan dengan ka­wasan penduduk ke sidang Dewan Undangan Ne­geri, September ini.

“Saya akan mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa tempatan mengenai kilang-kilang yang dibina dekat dengan kawasan perumahan dan meneliti risiko kepada orang awam.

“Kalau kita tengok, kilang ais ini tidak jauh dari sekolah dan kawasan penduduk dan ini kita akan bincangkan di peringkat tertinggi mengenai tahap ke­selamatannya,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN