KUALA LUMPUR 13 Ogos – Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Akademi Sains Islam Malaysia (Asasi) menyuarakan rasa kesal dan kecewa dengan kenyataan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Mohammad Fuzi Harun bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mula menggunakan bahasa Inggeris bagi taklimat dan operasi harian mereka.
Presiden Asasi, Prof. Datuk Ir. Dr. Wan Ramli Wan Daud berkata, perkara tersebut ekoran arahan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk mengubah bahasa rasmi polis kepada bahasa Inggeris bagi membolehkan polis Malaysia menguasai bahasa Inggeris dan setaraf dengan dunia antarabangsa selain perlu mahir menulis dalam bahasa tersebut.
“Kenyataan KPN ini seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris, semalam disifatkan tidak wajar dan mencabar undang-undang bahasa rasmi negara yang jelas mewajibkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam semua urusan kerajaan.
“KPN sebagai ketua pasukan yang bertanggung jawab menguatkuasakan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan sepatutnya lebih arif tentang tuntutan Perlembagaan dan undang-undang tentang kewajipan semua urusan rasmi dijalankan dalam bahasa Melayu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











