KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan sedang menimbang untuk melaksanakan cukai soda bagi menggalakkan hidup rakyat yang lebih sihat.
Perdana Menteri berkata, langkah itu bertujuan untuk mengurangkan penggunaan gula yang boleh menyebabkan penyakit diabetes.
“Kadar diabetes di Malaysia sangat tinggi kerana kita mengambil terlalu banyak gula,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Persidangan dan Pameran Cities 4.0 + Business 4.0 di sini semalam.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua mencadangkan kerajaan supaya memperkenalkan cukai soda ke atas minuman berkarbonat bagi menampung hasil kerajaan.
Terdahulu Mahathir berkata, kerajaan akan memulihkan semula Cyberjaya untuk lebih menumpukan kepada industri berasaskan teknologi dan pembangunan teknologi baharu serta penggunaannya.
Beliau turut membayangkan tentang kemungkinan ada gelombang kedua pembangunan dalam Koridor Raya Multimedia yang dipacu kemajuan teknologi dalam era digital.
Mengenai projek Forest City di Johor, Perdana Menteri berkata, beliau tidak bersetuju dengan idea untuk membina bandar bagi orang asing.
“Kita membantah kerana ia dibina bagi orang asing, bukan untuk rakyat Malaysia. Kebanyakan rakyat Malaysia tidak mampu membeli apartmen itu,” katanya.
Sementara itu, mengenai Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Mahathir berkata, kerajaan tidak berhasrat untuk mengeluarkan laporan majlis itu kepada umum.
Beliau berkata, tugas CEP adalah untuk menyiasat dan mengemukakan laporan kepada beliau untuk membolehkan sesuatu keputusan dibuat. – Bernama











