KUALA LUMPUR – Kerajaan masih belum memuktamadkan hala tuju Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sama ada meneruskannya atau tidak tertakluk kepada hasil rundingan yang sedang dijalankan.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, Kerajaan negeri Selangor menentang projek ECRL kerana rangkaian kereta api dari Gombak ke Pelabuhan Klang itu akan menjejaskan permohonan Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
“Jika kerajaan bercadang meneruskan projek ini, kajian teliti harus dilaksanakan dari segi persetujuan Kerajaan negeri Selangor, skop, spesifikasi dan kaedah pelaksanaan supaya kos keseluruhan projek dapat dikurangkan.
“Sekiranya kerajaan bercadang untuk tidak meneruskannya, kemungkinan besar ia akan dirujuk kepada prosedur perundangan bagi menentukan jumlah bayaran pampasan, jika ia perlu dibayar,” katanya pada sesi soal jawab di Persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan asal Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib (BN-Maran) yang ingin tahu status terkini projek berkenaan dan justifikasi peningkatan kos pembinaan daripada RM55 bilion kepada RM70 bilion. – Bernama











