Keputusan tidak wajar - Utusan Malaysia

Keputusan tidak wajar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI 15 Ogos – Langkah Kementerian Pe­rumahan dan Kerajaan Tem­patan menangguhkan kerja pembinaan Tapak Pelupusan Sanitari Bukit Payong di Batu Pahat disifatkan sebagai keputusan yang tidak baik.

HASNI MOHAMMAD
HASNI MOHAMMAD

Ini kerana, menurut Ketua Pembangkang, Datuk Ir. Hasni Mohammad, penangguhan itu akan memberikan ‘tekanan’ terhadap tapak pelupusan di Renggam yang tidak lagi dapat menampung jumlah sampah yang dihantar ke sana.

Selain itu, tegas beliau, kerja-kerja pembinaan di tapak di Bukit Payong juga sudah dijalankan, malah kontraktor telah dilantik.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kerajaan negeri perlu memikirkan untuk menggunakan teknologi insinerator sebagai satu kaedah pelupusan dan perkara itu perlu dijelaskan dan diterangkan kepada penduduk berkenaan teknologi itu.

“Jadi, penanggu­han kerja di tapak itu akan menjadikan kawasan di Renggam ‘tekanan’ sedangkan da­lam keadaan sekarang, tapak itu sudah tidak mampu menampung pembu­angan sampah,” katanya ke­tika diminta mengulas tentang ke­putusan kementerian itu.

Beliau berkata, teknologi in­sine­rator juga pernah dicadang­kan oleh kerajaan Barisan Nasio­nal (BN), malah perbincangan dengan pihak kementerian juga telah dibuat yang pada dasar bersetuju untuk mempertimbangkannya.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi negeri, Tan Hong Pin memaklumkan mengenai keputusan kerajaan, kementerian dan kerajaan negeri yang mencapai kata sepakat untuk menangguhkan kerja pembinaan tapak sampah di Bukit Payong.

“Seperti yang dimaklumkan semasa sesi seranta awam bersama-sama warga Bukit Payong pada 27 Julai lalu, Jawatankuasa Teknikal Rentas Agensi di peringkat negeri dibentuk bagi mempertimbang tapak-tapak gantian yang sesuai bagi menggantikan tapak cadangan di Bukit Payong.

“Justeru, sepanjang tempoh penangguhan, jawatankuasa itu perlu mengambil langkah secara proaktif menilai dan mengkaji tapak bersesuaian dengan mengambil kira aspek geografi, alam sekitar dan jarak kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) terlibat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN