MINA 23 Ogos –Kempen Kebersihan Perdana Masyair memberi impak yang baik kepada jemaah apabila tapak perkhemahan Malaysia di Arafah dan Muzdalifah bersih daripada sampah sarap selepas mereka bergerak ke Mina semalam.
![]() |
|
SYED SALEH SYED ABDUL RAHMAN
|
Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman memberitahu, laporan yang diterima daripada pengurus-pengurus maktab menyatakan bahawa khemah jemaah di Arafah dikemas dengan baik dan tiada lagi sampah sarap.
Katanya, begitu juga di Muzdalifah, walaupun tiada khemah disediakan, namun jemaah menunjukkan komitmen yang tinggi dan beliau melihat sendiri kawasan itu ditinggalkan bersih sama seperti sebelum mereka bermabit.
“Ini menunjukkan jemaah Malaysia boleh melakukan perubahan untuk menjaga kebersihan seterusnya menunjukkan mereka ada adab dan akhlak yang baik untuk dicontohi negara lain,” katanya semasa merasmikan gotong-royong sempena kempen berkenaan di Maktab 82 di sini.
Menurut Syed Saleh kempen kebersihan itu akan diteruskan di perkhemahan di Mina sehingga Jumaat ini sehingga habis tempoh melontar.
“Kita juga mahu jemaah meninggalkan perkhemahan di Mina dalam keadaan lebih bersih atau sekurang-kurangnya sama seperti mereka sampai semalam,” katanya.
Katanya, Muassasah Asia Tenggara juga memberi tindak balas yang baik terhadap kempen itu apabila menambah pekerja pembersihan termasuk membuat jadual untuk membersihkan tandas.
“Sudah tentu perkara ini akan disampaikan kepada Kementerian Haji Arab Saudi. Dalam pertemuan dengan mereka setiap tahun perkara yang akan diutarakan adalah jemaah kita ada adab, berdisiplin tinggi serta tertib.
“Mereka juga kata jemaah kita ada ilmu yang cukup dan tidak menimbulkan sebarang masalah kepada pihak berkuasa Arab Saudi,” katanya.
Beliau seterusnya berharap kempen berkenaan menjadi inisiatif kepada jemaah negara lain atau sekurang-kurangnya kelompok Asia Tenggara untuk bersama-sama menjaga kebersihan kawasan sekeliling perkhemahan mereka di Arafah, Muzdalifah dan Mina.
Mengenai perjalanan masyair setakat ini, katanya, ia masih dalam lingkungan perancangan dan walaupun pada awalnya ribut melanda Arafah, namun jemaah tenang dan dengan kerjasama pihak muassasah bekalan elektrik serta khemah diperbaiki hanya dalam tempoh empat jam.
Mengenai jemaah yang tidak mengikut waktu melontar yang dijadualkan, beliau menasihatkan mereka keluar dalam kumpulan kecil agar tidak tersasar apabila mahu pulang ke khemah. – UTUSAN












