KOTA BHARU 15 Ogos – Pergerakan Pemuda UMNO negeri ini mendesak Kementerian Kesihatan menyatakan pendirian dan kenyataan rasmi terhadap isu surat terbuka yang ditulis oleh Dr. Nur Ilyani Mohamed Nawawi yang berkongsi pandangan berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
![]() |
|
SHAHRUL FADHEL MOHD. AZIZ
|
Naib Ketua Pemuda UMNO negeri, Shahrul Fadhel Mohd. Aziz berkata, pihaknya memandang serius desas-desus Dr. Nur Ilyani mungkin dikenakan tindakan tatatertib ekoran penyebaran surat terbuka yang ditujukan beliau kepada anak Perdana Menteri, Datin Paduka Marina Mahathir itu.
Sehubungan itu, katanya, Kementerian Kesihatan perlu segera mengeluarkan kenyataan berhubung tindakan dibuat pihaknya ke atas doktor itu bagi mengelak pandangan umum bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) kini semakin membuka ruang kepada golongan LGBT.
“Kami mempertahan dan menyokong sepenuhnya surat terbuka itu kerana mengupas situasi sebenar masa kini serta memberi teguran kepada sesiapa sahaja yang mendokong dan menaungi golongan LGBT.
“Jika ada sebarang tindakan tatatertib ke atas beliau, perkara ini tidak adil kerana itu adalah pandangan bersifat dakwah dan tiada kaitan dengan kerajaan, yang ditegur anak Perdana Menteri, bukan individu berjawatan dalam kerajaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Shahrul Fadhel lagi, Pemuda UMNO negeri ini bertekad untuk terus membela dan menyokong sesiapa sahaja yang berani bersuara bagi mengekang kegiatan tidak bermoral seperti LGBT daripada menular dan menjadi budaya di negara ini.
Baru-baru ini, satu surat terbuka tulisan Dr. Nur Ilyani kepada Marina berhubung isu LGBT yang disiarkan di akaun Facebook miliknya tular dalam media sosial.
Berikutan itu, ada pihak melaporkan perkara tersebut kepada Biro Pengaduan Awam (BPA) selain menggesa Kementerian Kesihatan mengambil tindakan tatatertib ke atas Dr. Nur Ilyani yang bertugas di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II). – UTUSAN ONLINE












