PUTRAJAYA 21 Ogos – Kementerian Pengangkutan dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengingatkan syarikat penerbangan supaya mengemaskini maklumat penerbangan mereka yang terjejas berikutan penutupan sementara ruang udara sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2.
Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan memberitahu, penutupan sementara selama lima hari tersebut yang bermula 27 Ogos ini adalah sempena sambutan Hari Kebangsaan di sini.
Selain itu, kementerian turut meminta syarikat-syarikat berkenaan untuk memaklumkan kepada para penumpang dengan terlebih awal bagi mengelakkan sebarang kesulitan.
“Kementerian dan CAAM juga ingin menyeru orang ramai khususnya yang akan membuat perjalanan melalui udara pada tarikh-tarikh tersebut supaya mengambil maklum akan penutupan ini dan sentiasa berhubung dengan syarikat penerbangan dan operator lapangan terbang bagi mendapatkan maklumat dan jadual penerbangan yang terkini.
“CAAM komited untuk memastikan kelancaran flypast Hari Kebangsaan 2018 di Putrajaya serta bagi mengelakkan kesulitan orang ramai terutamanya para penumpang pesawat di KLIA dan KLIA2,” kata kenyataan itu di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











