CARDIFF, Wales – Seorang lelaki hilang kemampuan bercakap dalam loghat bahasa Wales selepas bermain permainan video selama 21 jam tanpa henti di rumahnya.
Jamie Callis, 21, dari Barry di sini berkata, dia mendapati hilang kemampuan bercakap dalam loghat tempatan selepas menghabiskan masa selama empat jam berkomunikasi dengan beberapa pemain dari Amerika Syarikat dan Kanada.
Dia mengakui mempunyai masalah ketagihan teruk bermain permainan video secara online sehingga menjejaskan kehidupan harian dan kemahiran berkomunikasi dengan individu sekeliling.
Callis memberitahu stesen penyiaran ITV bahawa dia biasanya menghabiskan masa sekurang-kurangnya 8 jam setiap hari bermain permainan video selepas waktu sekolah.
“Pada hujung minggu pula, saya bermain permainan video antara 16 hingga 21 jam,” katanya yang hanya tidur selama beberapa jam setiap hari.
Callis kini mendapatkan bantuan pakar kaunseling dan menasihatkan individu lain berbuat perkara sama jika berdepan masalah sama.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini mengiktiraf ketagihan bermain permainan video sebagai satu masalah kesihatan mental. – Agensi











