KUALA LUMPUR 28 Ogos – Seorang pemuda dari United Kingdom, Henry Crew, 22, kini berada di Malaysia dalam misi mencatatkan Rekod Dunia Guinness sebagai individu termuda mengelilingi dunia menggunakan motosikal meliputi perjalanan sejauh 56,000 kilometer dan merentasi 35 negara.
Pengedar tunggal motosikal Ducati di negara ini, Next Bike Sdn. Bhd. (Next Bike) dalam satu kenyataan memaklumkan, bagi melaksanakan misinya, Henry memilih Ducati Scrambler yang terkenal dengan ketahanan dan gaya ikonik.
“Henry memulakan misi luar biasanya pada 3 April lalu dan sejak itu telah mengunjungi 17 buah negara termasuk Perancis, Switzerland, Itali, Rusia, Kazakhstan, Myanmar, India, Thailand dan kini berada di Malaysia. Dia akan meneruskan perjalanannya ke Australia seterusnya Afrika dan menuju Amerika Syarikat sebelum menamatkan misi di England.
“Sepanjang Henry berada di negara ini, Next Bike akan memeriksa motosikalnya bagi memastikan jentera itu sentiasa berada dalam keadaan terbaik. Henry akan melalui perjalanan ke Pulau Pinang, Ipoh dan Cameron Highlands sebelum Tanjung Piai, Johor dan kemudian menuju Kuala Lumpur,” kata kenyataan itu.
Selain mengejar misi rekod dunia, Henry juga mengambil peluang mengumpul dana bagi Yayasan Movember iaitu sebuah organisasi amal antarabangsa yang memberi fokus menangani masalah kesihatan yang sering dialami golongan lelaki iaitu kanser prosat dan testis serta kesihatan mental.
“Henry telah aktif mengumpul dana untuk yayasan tersebut sejak 2014. Sejak itu, sebanyak RM23,000 berjaya beliau kumpul termasuk kira-kira RM13,000 yang dikumpulkan sepanjang misi perjalanan 56,000 kilometer ini.
“Untuk memberi galakan terhadap usaha Henry selain memberi inspirasi kepada golongan belia, Ducati memberikan sokongan penuh daripada setiap pengedar di negara-negara terlibat. Ducati juga menyediakan sebuah Scrambler Desert Sled bagi digunakan Henry sepanjang ekspedisinya,” katanya. – UTUSAN ONLINE











