GUA MUSANG 15 Ogos – Pasukan Kriket Kelantan muncul Juara selepas menewaskan pasukan Selangor dalam perlawanan akhir Kejohanan Kriket Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Padang Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Kota Bharu baru-baru ini.
Majlis penutup dan penyampaian hadiah telah disampaikan Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Abdullah Mat di Dewan Putera, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putera Kota Bharu.
Pengurus pasukan, Mohd. Arif Mat Nawi berkata, sebanyak 10 daripada 14 pemain yang mewakili pasukan bawah 18 tahun itu merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indra Petra di sini.
Beliau berkata, kerja keras dan semangat bekerjasama pemain yang sentiasa fokus dalam setiap perlawanan adalah kunci utama kejayaan pasukan tersebut.
“Pemain kita, Muhammad Irfaq Wan Yusoff, 16, muncul sebagai pemain terbaik keseluruhan dan turut mendapat Anugerah Best Bowler dan Best Wicket.
“Manakala seorang lagi pelajar, Mohamad Hakim Harisan, 16, dianugerahkan Best All Rounder pada Kejohanan Kriket MSSM 2018,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Pengetua SMKTIP, Ummi Mariza Che Ya berkata, pencapaian pelajarnya amat membanggakan dan diharap menjadi pemangkin kecemerlangan sukan kriket untuk negeri ini.
“Walaupun SMKTIP merupakan sekolah yang berada di kawasan luar bandar, kita berjaya melahirkan pemain kriket yang berkualiti.
“Kita akan menyusun lebih banyak program dan latihan bagi mencungkil bakat baru dan sedia ada,” katanya.











