ISU bahasa semakin rancak diperkatakan terutamanya dalam kepesatan era teknologi maklumat dan komunikasi pada masa ini.
Bahasa boleh dianggap sebagai jiwa bangsa. Ia adalah sebahagian daripada roh bangsa, mencerminkan sejarah, adab tertib, etika dan etiket bangsa dalam sesuatu peradaban.
Perkembangan tamadun sesuatu bangsa terutamanya dari segi keupayaan dan pencapaian intelek tergambar dalam bahasa yang digunakan.
Bahasa-bahasa utama di dunia memiliki adukan perbendaharaan kata daripada pelbagai bahasa.
Bahasa Melayu turut mengasimilasikan perkataan daripada pelbagai kaum di gugusan Kepulauan Melayu serta perkataan dari Barat dan Timur, Arab, Parsi, Portugis, Inggeris, China dan India menerusi hubungan diplomasi, perdagangan serta agama.
Elemen pengaruh dan mempengaruhi telah memperkayakan bahasa Melayu, menjadikannya bahasa yang dinamik, bahasa yang hidup dan bahasa yang terus berkembang.
Bagaimanapun, ada individu sanggup ‘memperlekehkan’ bahasa atas tujuan tertentu.
Ketika kita diancam dengan penggunaan bahasa slanga yang menyimpang daripada kaedah sebutan dan tatabahasa standard oleh pengguna media sosial, pencemaran bahasa berkumandang di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Perkataan ‘kepala bapak’, misalnya tidak sepatutnya diucapkan di dalam dewan yang mulia itu.
Perkataan-perkataan kasar dan lucah yang terpacul daripada mulut Ahli Parlimen itu sungguh menjijikkan.
Babak ‘sedih’ itu menjadi tontonan rakyat Malaysia termasuk golongan pelajar sekolah yang sepatutnya disajikan dengan contoh dan teladan yang baik.
Ahli-ahli politik yang dipilih rakyat untuk memimpin negara ini perlu berkelakuan baik bagi menjamin generasi muda yang menjadi aset negara.
Tidak adakah perasaan malu yang lahir dalam diri mereka apabila perbuatan itu dilihat oleh anak-anak atau cucu-cucu masing-masing?
Jangan menggadai maruah sendiri semata-mata mahu membuktikan kekuatan atau kehebatan diri kerana ia tidak memberikan sebarang kebaikan.
Sebelum ini, ada pihak lantang bersuara dan sanggup melakukan demonstrasi apabila Peguam Negara, Tommy Thomas bercakap dalam bahasa Inggeris.
Tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan akhbar dalam bahasa Mandarin turut mencetuskan perdebatan hangat.
Namun, apabila bahasa kesat dan lucah berkumandang di dalam Dewan Rakyat serta ditonton seluruh lapisan rakyat menerusi saluran televisyen dan YouTube, kumpulan pendesak itu membisu seribu bahasa.
Kini, terbukti bahawa kita masih lagi terbelenggu dengan sikap dan masalah untuk sayang pada bahasa sendiri.
Bahasa Melayu umpama mengemis di bumi sendiri, minta disayang dan ditatang.
Tidak lagi boleh terlalu berharap kepada ahli politik untuk memperkasakan bahasa peninggalan warisan nenek moyang kita ini.
Bagaimanapun, di sebalik kontroversi di dalam Dewan Rakyat itu, kita patut memuji tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) melancarkan panduan ‘Bahasa Terlarang’ baru-baru ini.
Beberapa perkataan yang biasanya digunakan oleh jaguh siber dan pahlawan papan kekunci di alam maya untuk mengutuk musuh politik disenaraikan dalam panduan itu.
Ia termasuklah perkataan Maha Firaun yang digunakan untuk mengkritik Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, DAPig untuk mengutuk DAP, Umnongok untuk menghina UMNO dan Pascai untuk menghina parti Pas.
Panduan itu disediakan oleh SKMM dengan bantuan Dewan Bahasa dan Pustaka, Lembaga Penapisan Filem, Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Commercial Radio Malaysia.
Keputusan itu dibuat selepas menyedari kepentingan kesantunan bahasa dan usaha mempertingkatkan kualiti kandungan siaran dalam media penyiaran.
Rujukan industri itu diharapkan dapat meningkatkan kefahaman para pengamal media penyiaran dalam penyelarasan tafsiran serta suntingan berkaitan penggunaan bahasa terlarang khususnya bahasa kasar, kesat dan lucah.
Jadi, dalam kita mengejar arus kemodenan teknologi, kita perlu bersama-sama menjaga bahasa kebangsaan supaya ia tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.











