Kehebatan Zulhisham di China - Utusan Malaysia

Kehebatan Zulhisham di China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELBAGAI pengalaman pahit manis dalam kehidupan diharungi alumni Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu, Kelantan, Nik Zulhisham Azman, 20. 

Beliau yang baharu sahaja menamatkan kursus asasi untuk program Sarjana Muda dan menjadi salah seorang mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Perdagangan Antarabangsa dan Ekonomi (SITE) di University of International Business and Economics (UIBE) Beijing, China bangga menjadi antara anak Melayu dan menyifatkan pengalaman yang ditimba melanjutkan pengajian tinggi di tanah besar China itu sebagai begitu berharga. 

Bermula dengan kehidupan di luar  bandar, Nik Zulhisham yang merupakan anak pertama daripada dua beradik diberi peluang melanjutkan pelajaran di UIBE atas pencapaian cemerlang dalam peperiksaan sejak di bangku sekolah lagi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ketika Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), saya cuma mendapat 4A. Dengan keputusan itu saya telah berjaya melanjutkan pengajian di Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu, Kelantan, kelengkapan dan kemudahan yang lebih baik di sekolah tersebut membolehkan saya memperoleh keputusan cemerlang dalam Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dengan mendapat 5A.

“Walaupun saya sering mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan kelas dan yang pastinya impian saya adalah untuk melanjutkan pelajaran di luar negara.

“Belajar di luar negara merupakan impian saya  dan menimba pengalaman di luar negara merupakan titik tolak saya dalam menjalani kehidupan sebagai mahasiswa,” katanya.

Itu antara  pengalaman  yang tidak dapat dilupakannya. Kecemerlangan pelajaran di peringkat sekolah rendah dan menengah memberi peluang kepada Nik Zulhisham untuk meneruskan pengajian di UIBE yang merupakan universiti terbaik di China yang menawarkan pengajian dalam bahasa Inggeris yang diiktiraf antara universiti terbaik yang menawarkan program kewangan dan ekonomi.

Pada awalnya, Nik Zulhisham sendiri gusar apabila mendapat tawaran mengikuti pengajian di UIBE yang ditaja sepenuhnya oleh kerajaan China  kerana tidak yakin dengan penguasaan bahasa Mandarin. Namun kebetulan ketika itu selepas menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia beliau dan keluarga berpeluang bercuti ke China.

“Di sana saya menimba sedikit pengalaman tentang kehebatan masyarakat China dalam ekonomi. Ayah juga turut mendorong minat saya supaya mengambil peluang untuk melanjutkan pelajaran di negara tersebut.

“Hasil daripada dorongan itu, saya menyambung pengajian  di China. Saya juga amat kagum kerana mahasiswa dari 165  negara yang melanjutkan pengajian di negara itu juga berjaya menguasai bahasa Mandarin dengan baik. 

“Saya sendiri seperti mengalami kejutan budaya. Pertama kali masuk kuliah, saya kurang faham apa yang pensyarah ajar. Pun begitu, saya tidak mahu mengalah kerana saya perlu mengharungi untuk melanjutkan pengajian saya.

“Apa yang saya lakukan ialah memperbanyakkan bacaan buku bahasa Mandarin. Malah saya memilih untuk membaca surat khabar dan buku Mandarin. Lama-kelamaan bahasa Mandarin bukan lagi sesuatu yang sukar untuk saya. Saya berjaya menguasainya termasuk memahami apa yang pensyarah saya ajar,” katanya yang aktif dalam program kepimpinan pelajar.

Nik Zulhisham yang meminati bidang sastera sejak di bangku sekolah menengah lagi meskipun bidang yang diambil di adalah UIBE namun beliau aktif dalam bidang penulisan karangan bahasa Mandarin dan pernah terlibat dalam pertandingan menulis karangan bahasa tersebut dan menjadi salah seorang ahli jawatankuasa kemasukan pelajar baharu UIBE.

Di UIBE, Nik Zulhisham turut menyertai Kelab Badan Kepimpinan Pelajar yang berperanan meningkatkan jaringan kerjasama antara pelajar China dan antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN