SEREMBAN – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan dan Melaka berjaya mematahkan cubaan menyeludup rokok dengan nilai dan cukai berjumlah RM5.4 juta di Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, kelmarin.
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan), Datuk Zulkifli Yahya berkata, pihaknya merampas 7.4 juta batang rokok jenama U2 itu selepas menahan tiga buah lori di dua lokasi pada pukul 5 pagi.
Menurutnya, sebuah lori dan pemandunya berusia 28 tahun ditahan di Kilometer (KM) 188.4 lebuh raya itu, manakala dua lagi lori ditahan di KM201.8, namun pemandunya melarikan diri.
“Ketiga-tiga lori dipercayai daripada sindiket sama kerana mereka seolah-olah berkonvoi. Jenis lori dan jenama rokok yang dirampas juga sama.
“Kita percaya rokok itu diseludup dari negara jiran dengan menggunakan bot pancung sebelum dipunggah menggunakan lori untuk dipasarkan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.Zulkifli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barangan dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. – K! ONLINE










