Kami bukan rubber stamp - Utusan Malaysia

Kami bukan rubber stamp

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini penulis berpeluang duduk minum bersama orang Kam­pung Sungai Kandis di Parlimen Kota Raja.

Sambil menghirup secawan teh tarik dia berce­rita tentang suasana di mana beliau dibesarkan dan apa yang diperlukan oleh penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

Penduduk yang menamakan dirinya sebagai Khir Johari, 60, membe­ritahu, jangan terjatuh ke dalam lubang yang sama. Itu adalah nasihat beliau kepada pengundi DUN Sungai Kandis yang akan mengundi kali kedua pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 4 Ogos ini.

Khir berkata, DUN Su­ngai Kandis yang meliputi Kampung Johan Setia, Kampung Jalan Kebun, Kampung Bukit Naga dan Kampung Sungai Kandis sendiri memerlukan pe­mimpin yang komited membantu untuk memulihkan infrastruktur se­perti jalan raya dan perparitan.

Beliau dengan nada emosi berkata, mengapa calon bila berkempen menjanjikan pelbagai perkara yang indah-indah sedangkan selepas menang pilihanraya kelibat mereka pun hilang ditelan masa.

Sungai Kandis katanya, bukan sahaja tempat untuk memancing undi tetapi tempat untuk rak­yat menikmati hidup berkualiti. Pendek kata ja­ngan jadikan orang Sungai Kandis sebagai setem getah semata-mata.

Bila diperlukan untuk so­kongan maka dipujuk untuk menjadi pemilih calon. Bila tidak diperlukan ibarat setem getah yang terbiar di atas meja bergentayangan.

Sama ada Barisan Nasi­onal (BN) atau Pakatan Harapan (PH) yang diundinya Sabtu ini. Kata Khir segalanya adalah rahsia. Dalam nada berkias beliau berkata, jika sudah jatuh ke lubang yang sama, adakah kali ini hendak melompat ke lubang yang sama lagi.

Ringkas dia memberi kata-kata perpisahan. Hidup jika tidak berpegang pada janji, usah lagi menabur janji esok-esok jatuh ke dalam parit.

Berbicara dalam nada yang sama adalah penduduk bersempadan DUN Sungai Kandis iaitu Taman Seri Andalas, Erwan Abdul Majid, 32, yang mewakili suara orang muda yang berbicara skop yang lebih besar berhubung PRK DUN Sungai Kandis.

Pemuda berperawakan sederhana itu kesal kerana janji manifesto PH untuk rakyat tidak dipenuhi dengan pelbagai alasan daripada kepimpinan PH kini menjadi halwa telinga.

Beliau bukannya bercakap atas dasar kepentingan diri sendiri tetapi demi masa depan anak-anak muda di Kota Raja iaitu Parlimen yang merangkumi DUN Sungai Kandis, Kota Kemuning dan Sentosa.

Katanya, sentimen politik nasional sebelum Pilihanraya Umum ke 14 (PRU-14) sepatutnya terus dibiarkan kepada pihak mahkamah menentukan. Pada saat ini janji-janji manis pada rakyat perlu dibuktikan dan ada usaha konkrit untuk membuktikannya.

Erwan memberitahu, sudah-sudahlah berjanji untuk membuat perubahan mendadak jika berlambak-lambak alasan untuk memungkirinya. Isu pinjaman Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) yang akan dimufliskan jika gagal membayar kembali pinjaman dan janji memansuhkan tol yang tiada riak untuk dilaksana menjadi janji yang menghantui rakyat negara ini.

Setakat meminta maaf untuk menjustifikasi segala tindak-tanduk untuk tidak memenuhi manifesto hanya akan mewujudkan ‘kanser integriti’ dalam sistem kehidupan masyarakat.

Kesimpulannya jelas Erwan lagi, ke mana sebenarnya hala tuju negara ini jika manifesto yang menjadi badi perjuangan PH terus menjadi dokumen tidak bermakna lagi.

Nasihatnya pada pengundi DUN Sungai Kandis ter­utama orang muda, jika inginkan kehidupan yang lebih baik pilihlah yang orang yang suka menepati janji bukan manusia oportunis ibarat kucing disuruh menjaga ikan di atas meja. Ikan dimakan, tikus dituduh merampasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN