KUALA LUMPUR 27 Ogos – Kerajaan sedang mengkaji implikasi menaikkan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun dalam menentukan sama ada pindaan akan dilakukan secara pengharaman penuh atau dengan pengecualian tertentu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, kajian yang sedang dilaksanakan mengambil kira aspek perundangan dan sosial.
“Sebagai contoh, sekiranya pengharaman penuh dikuatkuasakan dan terdapat kes kanak-kanak yang berkahwin, perkahwinan tersebut tidak dapat didaftarkan.
“Kanak-kanak tersebut terutamanya kanak-kanak perempuan tidak akan mempunyai perlindungan di bawah undang-undang bagi keganasan rumah tangga, hak untuk nafkah, harta sepencarian dan sebagainya,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah yang meminta kerajaan menyatakan langkah mengekang rakyat daripada terlibat dengan perkahwinan melibatkan kanak-kanak.
Dalam pada itu, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan menerusi Jabatan Kehakiman Syariah telah menggubal garis panduan untuk memperketatkan kelulusan permohonan perkahwinan bawah umur supaya wajib mengambil kira kepentingan kanak-kanak yang terlibat dari aspek kesihatan, pendidikan dan sosioekonomi.
Kata beliau, langkah itu berikutan buat masa ini, perkahwinan bawah umur dibenarkan dari segi perundangan bagi perkahwinan dalam kalangan Muslim dan bukan Muslim serta mengikut adat.
Selain itu, beliau memberitahu, kementeriannya sedang merancang beberapa siri rundingan untuk menetapkan had umur perkahwinan.
“Bagi perkahwinan Muslim, perjumpaan bersama Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kehakiman Syariah dan Majlis Agama Islam setiap negeri, untuk perkahwinan adat pribumi di Sabah dan Sarawak, perjumpaan bersama wakil adat dan Majlis Adat Sabah dan Sarawak.
“Bagi perkahwinan bukan Islam, perjumpaan bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Peguam Negara dan wakil-wakil agama manakala untuk perkahwinan adat Orang Asli, perbincangan lanjut bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa),” katanya.
Sementara itu, Wan Azizah Wan menerima kunjungan hormat Menteri Luar Sri Lanka, Tilak Marapana di pejabatnya di bangunan Parlimen.
Delegasi seramai tujuh orang itu turut disertai Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka di Malaysia, Majintha Jayesinghe.
Pertemuan ringkas tertutup selama 20 minit itu antara lain membincangkan mengenai hubungan dua hala antara Malaysia dan Sri Lanka.
Terdahulu, Wan Azizah turut menerima kunjungan daripada delegasi Duta Palestin ke Malaysia yang diketuai Dr. Anwar Al Agha.











