Jutawan pengutip sampah - Utusan Malaysia

Jutawan pengutip sampah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING 20 Ogos – Zhong Congrong, seorang ahli perniagaan dari Chongqing, China dikenali sebagai jutawan pengutip sampah kerana sikapnya yang suka mengutip sampah di sepanjang jalan yang dilaluinya dengan hanya menggunakan penyepit aluminium.

Memuatkan artikel berkaitan…

Oddity Central melaporkan, usahawan berusia 52 tahun itu mula membersihkan jalan di Chongqing tiga tahun lalu selepas menyertai percutian keluarga di wilayah Hainan, selatan China semasa cuti Tahun Baharu China.

Di Hainan, Congrong bertemu seorang pesara pensyarah universiti yang dilapor mengutip sampah di sebuah pantai tempatan pada setiap hari selama empat tahun.

Usahawan itu nyata teruja de­ngan dedikasi dan komitmen wa­nita berkenaan mengutip sampah sebelum mengambil keputusan untuk turut melakukan perkara serupa di bandar kelahirannya sejurus pulang dari bercuti.

Agak menarik apabila pada permulaan langkah Congrong mengutip sampah, banyak pihak memberikan reaksi negatif khas­nya daripada penduduk tempatan dan media.

Jelas mereka tidak faham me­ngapa seorang jutawan yang memiliki hartanah, syarikat edaran kereta dan beberapa kilang memproses bahan akhirnya mengutip sampah dengan tangan.

Mereka percaya perbuatan Congrong semata-mata untuk menarik perhatian ramai namun jutawan itu langsung tidak me­ng­­endahkan perkara negatif ter­babit mengganggu tumpuannya.

Malah pada awalnya, keluar­ga usahawan itu keliru dengan kelakuan Congrong apabila isteri dan anak-anaknya berasa malu dengan liputan negatif media mengenai ‘tabiat eksentrik’ selain enggan dilihat bersama jutawan terbabit di khalayak.

Namun, apabila masa berlalu, sikap orang ramai mula berubah dan penduduk menyedari kawasan perumahan mereka semakin bersih hasil usaha Congrong.

Orang ramai mula memuji dan menyokongnya malah isteri Cong­rong mula menjalankan kempen antisampah selain memarahi semua orang yang dia lihat membuang sampah di jalan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN