DUNGUN – Seorang jurutera sebuah syarikat memproses minyak di Kawasan Perindustrian Kerteh di Kemaman ditemui meninggal dunia di tepi keretanya semasa dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bermain badminton dengan rakan-rakan.
Mayat Juriza Muda, 36, ditemui pada pukul 9.30 malam kelmarin oleh pasukan polis peronda di tepi kereta Proton Wira miliknya di Kampung Nyior, Bandar Paka di sini.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superitendan Baharudin Abdullah berkata, sebelum kejadian, dua anggota dari Balai Polis Paka yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah di sekitar kawasan tersebut berasa curiga melihat sebuah kereta Proton Wira dengan lampu bernyala dan pintu terbuka tersadai berhampiran pagar sebuah rumah yang sedang dibina.
Menurut beliau, pemeriksaan dua anggota polis itu kemudian menemui satu mayat lelaki terbaring di atas tanah di tepi kereta tersebut.
“Pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Bandar Paka yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan mangsa yang ditemui sudah meninggal dunia,” kata beliau ketika dihubungi Kosmo! semalam.











