SEMPORNA – Seorang juragan sebuah bot laju yang membawa muatan 20 tong petrol tidak berdaftar lolos dalam serbuan di perairan Kampung Sri Aman di sini semalam.
Pengarah Maritim Malaysia (APMM) Zon Semporna, Leftenan Komander Maritim Amiludin Yenggah berkata, ketika serbuan pada pukul 11.30 pagi itu, suspek dikatakan terjun ke kawasan laut cetek.
Menurut Amiludin, pemeriksaan terhadap bot laju tersebut menemui 20 tong petrol berkapasiti 350 liter bernilai RM11,800.
“Ketika melakukan rondaan di kawasan perairan terbabit, pihak APMM mengesan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigkan.
“Menyedari kehadiran pihak berkuasa suspek bertindak terjun ke laut dan terus melarikan diri. Justeru, hasil pemeriksaan di atas bot itu kami menemui muatan tong berisi petrol yang disyaki tidak berdaftar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, pemeriksaan lanjut turut mendapati bot berkenaan tidak mempunyai nombor pendaftaran.
“Bot dan muatan petrol dirampas dan dibawa ke Kem Azumi untuk tindakan lanjut,” jelasnya.
Kes disiasat mengikut Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 dan Akta Kawalan Bekalan 1961. – K! ONLINE











