SYDNEY 26 Ogos – Menteri Luar Australia, Julie Bishop mengumumkan peletakan jawatan daripada Kabinet Perdana Menteri baharu, Scott Morrison, dua hari selepas episod krisis kepemimpinan yang menyaksikan Malcolm Turnbull digulingkan.
Bishop mengumumkan perkara itu dan belum membuat keputusan sama ada untuk bertanding pada pilihan raya akan datang iaitu Mei tahun depan.
Keputusan tersebut bakal memberi kesan serius terhadap kerajaan pimpinan Morrison yang hanya mempunyai kelebihan majoriti satu kerusi di Parlimen.
Morrison dipilih sebagai Perdana Menteri menggantikan Turnbull selepas seminggu berdepan kekacauan politik di Canberra dan melakar sejarah sebagai Perdana Menteri keenam Australia dalam masa kurang 10 tahun.
Beliau telah mengambil alih sebagai pemimpin Parti Liberal, ‘rakan kongsi’ kanan dalam gabungan Liberal-Nasional yang secara konsisten telah mengatasi Parti Buruh dalam tinjauan pendapat beberapa bulan lalu.
Bishop sebelum ini turut bertanding namun disingkirkan sehingga Morrison muncul sebagai pemenang undian mengatasi Peter Dutton, pencabar konservatif Turnbull yang membawa krisis kepemimpinan awal minggu ini.
“Saya akan terus berada di belakang sebagai suara lantang bagi Australia Barat,” kata Bishop dalam satu kenyataan.
Kemungkinan Bishop ‘meninggalkan’ Parlimen sebelum pilihan raya tahun depan bakal menjadi kebimbangan utama kepada Morrison, iaitu sama ada pilihan raya kecil diadakan bagi kerusi yang dipegang pemimpin wanita berkenaan. – REUTERS











